KUALA TERENGGANU – Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) memberi amaran keras terhadap individu yang melakukan perbuatan khurafat dengan mengambil sebahagian tanah di kubur Allahyarham Nurly Shahirah Azman kononnya sebagai berkat dan untuk dijadikan azimat.
Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Aizi Saidi Abd. Aziz berkata, tindakan denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melakukan perbuatan khurafat di kawasan perkuburan.
“Perbuatan (mengambil tanah kubur Nurly) tersebut bercanggah dengan hukum syarak.
“Tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 3A, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001,” katanya di sini semalam.
Aizi Saidi berkata, JHEAT telah mengetatkan kawalan di kawasan kubur Nurly di Tanah Perkuburan Islam Gong Pasir, Besut bagi mengekang perbuatan khurafat berkenaan.
Beliau berkata, anggota penguat kuasa JHEAT telah ditempatkan untuk mengawal kubur Nurly terutama pada waktu malam.
“Kita tidak mahu berlakunya amalan khurafat dan syirik di kawasan perkuburan tersebut,” katanya.
Sebelum ini, kawasan tanah perkuburan yang menempatkan kubur Nurly telah menerima kunjungan orang ramai yang mahu melihat sendiri keadaan kubur pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu selepas kisah Allahyarham sebagai penghafal al-Quran tular di media sosial.














