fbpx

Beli barang mewah: 1MDB saman Rosmah AS$346 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosmah.

KUALA LUMPUR – 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak-anak syarikatnya memfailkan saman terhadap Datin Seri Rosmah Mansor berhubung pembelian barangan mewah termasuk barang kemas dan beg tangan bernilai AS$346 juta yang didakwa menggunakan wang diseleweng dari syarikat itu.

Sebelum ini, Rosmah pernah disaman syarikat barang kemas, Global Royalty Trading SAL dari Lubnan bagi mendapatkan kembali 43 barang kemas bernilai RM67.5 juta.

Selain 1MDB, saman yang difailkan semalam menyenarai SRC International Sdn. Bhd., 1MDB Energy Holdings Ltd, 1MDB Energy Ltd, 1MDB Energy (Langat) Ltd, Global Diversified Investment Company Ltd (formerly 1MDB Global Investments Ltd) sebagai plaintif kedua hingga keenam.

Turut disenaraikan sebagai plaintif ketujuh hingga 11 ialah beberapa entiti pesisir luar iaitu Affinity Equity International Partners Limited, Alsen Chance Holdings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited.

Menurut writ yang difailkan, plaintif mendakwa semua barangan mewah itu diperoleh Rosmah bukan menggunakan wang sendiri, sebaliknya dana yang diselewang daripada 1MDB dan anak-anak syarikatnya.

“Dana (yang diseleweng) disalurkan melalui pelbagai entiti luar pesisir termasuk plaintif ketujuh hingga ke-11 sebelum pembayaran dibuat kepada 48 vendor luar negara untuk pembelian barangan mewah ini. Sebanyak 320 bayaran berjumlah AS$346,010,489 dibuat,” kata writ tersebut.

Oleh itu, 1MDB dan anak-anak syarikatnya memohon agar Rosmah membayar sejumlah AS$346,010,489 atau satu jumlah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Selain itu, plaintif turut memohon deklarasi plaintif pertama hingga keenam mempunyai hak terhadap barangan mewah tersebut yang kini didakwa berada dalam simpanan Rosmah.

Kesemua plaintif turut memohon perintah agar Rosmah mengembalikan barangan mewah itu kepada plaintif pertama hingga keenam.

Turut dipohon ialah ganti rugi teruk, teladan, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai.

Menurut semakan sistem mahkamah, kes saman 1MDB dan 10 plaintif lain ditetapkan untuk pengurusan kes pada 24 Mei ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI