fbpx

Keputusan PRN 3-3 tidak gugat Kerajaan Perpaduan Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani (tengah) menunjukkan isyarat bagus ketika melawat sebuah gerai di program Jualan Rahmah di Stadium Indera Mulia, Ipoh hari ini. Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/KOSMO!

IPOH – Tiada angin perubahan bertiup di Perak memandangkan keputusan enam pilihan raya negeri (PRN) yang lalu menunjukkan setiap parti sekadar mempertahankan pemerintahan masing-masing.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad malah melabelkan usaha kononnya Perikatan Nasional (PN) mahu menghulurkan kerjasama dengan UMNO di Perak adalah satu percubaan nakal.

Beliau yang mengadakan pertemuan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) semalam memberi jaminan kepada kestabilan Kerajaan Perpaduan Perak.

“Bukan PN menang 6-0 pun. Mereka hanya mempertahankan tiga negeri yang diperintah sebelum ini. Jika sekali pun menang kesemuanya, tiada kena mengena dengan pembentukan Kerajaan Pusat dan Perak,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Siri Tujuh 2023 di sini hari ini.

Saarani yang dilihat cuba menurunkan suhu panas politik kesan PRN lalu, mahu pembangkang negeri menghormati keputusan pilihan raya umum 2022 dengan memberi ruang kepada Kerajaan Perpaduan Perak untuk memerintah demi memadamkan rasa runsing rakyat dan keyakinan pelabur.

“Jika sayangkan negeri, kena akur bahawa ada empat tahun lagi. Bagi peluang kepada Kerajaan Perpaduan untuk memerintah. Bila tiba masa pilihan raya nanti, mereka boleh bertanding. Kalau betul sayangkan negeri dan tidak mahu rakyat runsing, berhentilah (mencetuskan spekulasi),” katanya.

Berkenaan desakan supaya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan Presiden UMNO, Saarani berkata mesyuarat Perhubungan UMNO Perak semalam juga sebulat suara mengekalkan Presiden parti.

Katanya, mengapa sejak sekian lama DAP atau Pas tidak menang pilihan raya, tiada desakan kepada pemimpin parti itu untuk meletakkan jawatan termasuk ketika BN memenangi PRN Melaka dan Johor pada dua tahun lalu.

“Tiada jaminan Ahmad Zahid letak jawatan, orang Pas akan sokong umno, tiada jaminan orang Bersatu bubar parti dan masuk UMNO. Nasihat saya ahli UMNO tidak perlu menari ikut gendang orang luar UMNO,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI