fbpx

Debaran Azeem pada Kejohanan Dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZEEM (tengah) mampu mencipta kejutan pada Kejohanan Olahraga Dunia bermula Sabtu ini selepas tiba di Budapest hari ini.

PETALING JAYA – Bintang pecut negara, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi tiba di bumi Budapest, Hungary dengan semangat yang begitu membara untuk mencipta kejutan pada Kejohanan Olahraga Dunia 2023 bermula Sabtu hingga 27 Ogos ini.

Azeem, 19, turun sebagai atlet ke-42 dengan catatan tahunan terbaik tahun 2023 iaitu 10.11 saat (s) berdasarkan senarai pelari-pelari yang akan berentap dalam acara tumpuan 100 meter (m) pada kejohanan itu.

Pemegang rekod Great Britain, Zharnel Hughes turun sebagai pilihan pertama berdasarkan catatan terbaiknya tahun ini iaitu 9.83s diikuti pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 dari Kenya, Ferdinand Omanyala di kedudukan kedua (9.84s).

KERLEY (tengah) turun sebagai pilihan ketiga walaupun memegang status sebagai juara pada Kejohanan Olahraga Dunia di Eugene, AS tahun lalu. – AFP

Juara dunia iaitu Fred Kerley dari Amerika Syarikat (AS) yang meraih pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 pula memegang status pilihan ketiga menerusi catatan tahunan terbaiknya 9.88s.

Realistiknya, Azeem yang juga pemegang rekod 100m kebangsaan dengan catatan 10.09s dilakukannya tahun lalu, bukanlah lawan setaraf buat mereka bertiga atau jaguh-jaguh dunia lain seperti Christian Coleman, Noah Lyles ataupun Akani Simbine.

Bagaimanapun, permata negara itu turun sebagai pelari keempat terbaik dari benua Asia di belakang tiga atlet Jepun, Hiroki Yanagita (10.02s), Ryuichiro Sakai (10.08s) dan Abdul Hakim Sani Brown (10.09s).

Justeru, tidak mustahil penuntut di Universiti Auburn itu mampu melakukan kejutan dengan memperbaiki rekod kebangsaan atau mencetak masa bawah 10s, sekali gus menjadi manusia pertama dari Asia Tenggara melakukan sejarah tersebut.

AZEEM mencipta rekod 100m kebangsaan dengan catatan masa 10.09s pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia tahun lalu.

Atlet dari Teluk Intan, Perak itu akan turun memulakan cabarannya di peringkat kelayakan yang akan berlangsung di National Athletics Centre, Budapest pada pukul 6.35 petang Sabtu ini.

Azeem perlu memberikan larian terbaik untuk meloloskan dirinya ke pusingan pertama yang akan diadakan enam jam kemudian pada pukul 1.43 pagi Ahad.

Sebagai rekod, Azeem layak bertanding ke Kejohanan Dunia atas tiket wildcard selepas Olahraga Dunia (WA) hanya meluluskan permohonannya walaupun Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menghantar dua nama termasuk pemegang rekod 400m wanita kebangsaan, Shereen Samson Vallabouy. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI