fbpx

Barisan Exco P. Pinang direstui PH-BN Pusat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Chow Kon Yeow (tengah) sempat bergambar bersama Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Prof. Mohamad Abdul Hamid (kanan), dan Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo (kiri), selepas Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan di Dewan Sri Pinang, Georgetown. harini.

GEORGE TOWN – Kombinasi barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang yang terdiri lapan wakil DAP, dua PKR dan seorang wakil Barisan Nasional (BN) telah mendapat restu daripada kepimpinan Pakatan Harapan (PH)-BN.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, beliau dapat memuktamadkan senarai barisan Exco Kerajaan Perpaduan itu selepas mendapat persetujuan daripada pimpinan pusat parti komponen masing-masing.

“Barisan Exco ini direstui PH-BN Pusat, saya cuma dapat muktamadkan (nama-nama Exco) selepas mendapat persetujuan (pimpinan pusat),” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Sri Pinang, di sini hari ini.

Terdahulu 10 Exco kerajaan negeri Pulau Pinang selesai mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Barisan Exco yang mengangkat sumpah ialah ADUN Batu Maung, Prof. Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, ADUN Datok Keramat, Jagdeep Singh Deo yang masing-masing dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I dan Timbalan Ketua Menteri II.

Turut mengangkat sumpah jawatan Exco ialah ADUN Sungai Acheh, Rashidi Zinol, ADUN Tanjong Bungah, Zairil Khir Johari, ADUN Paya Terubong, Wong Hon Wai, ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim, ADUN Jawi, H’ng Mooi Lye, ADUN Padang Lalang, Gooi Zi Sen, ADUN Perai, Datuk Seri S. Sundarajoo, dan ADUN Pantai Jerejak, Fahmi Zainol.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, setiap parti di dalam gabungan PH-BN mempunyai cabaran masing-masing dalam menentukan wakil yang sesuai di dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Ada (parti) yang mahu tambah kerusi, ada yang mahu lepas kerusi. Kita buat pertimbangan dengan mengambil kira kedudukan gabungan PH-BN di negeri-negeri lain.

“Apabila ada yang kita lepas (kerusi), nanti mereka (parti) akan dapat kedudukan di negeri lain pula,” katanya.

Beritahu beliau, bagi wakil BN, parti berkenaan hanya menang di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pucuk pimpinan BN juga hanya mengemukakan nama seorang sahaja calon untuk menganggotai pentadbiran kerajaan negeri.

“Bagi PKR pula, daripada tiga jawatan Exco sebelum ini, mereka peroleh dua jawatan Exco kali ini dan ia dibuat berdasarkan kemenangan kerusi DUN PKR.

“DAP pula memberi keutamaan kepada wakil yang telah memegang jawatan selama dua atau tiga penggal, manakala Amanah pula kita peruntukkan jawatan Timbalan Speaker,” katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, beliau berharap barisan Exco yang telah dilantik dapat menyesuaikan diri dengan portfolio masing-masing dan bekerja sebagai satu pasukan untuk kepentingan rakyat negeri ini pada masa jangka panjang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI