fbpx
BADUT merupakan salah satu elemen komedi dalam persembahan sarkas.

Asam garam hidup ‘keluarga’ sarkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DILAHIRKAN dalam keluarga penghibur sarkas telah memutik minat gadis itu untuk menceburi bidang sama.

Sudah melatih diri untuk menjadi penari akrobatik dan gimnas sejak kecil, gadis kacukan Malaysia-Rusia, Angelina, 17, amat gembira dapat menyambung generasi penghibur sarkas keluarganya.

“Saya dibesarkan dengan melihat ibu bapa terlibat dalam sarkas terutama sebagai penari akrobatik.

“Oleh itu, saya memilih untuk menyambung legasi ini.

“Bagaimanapun, ia bukanlah mudah. Sejak kecil, saya sudah dilatih dan menjalani pelbagai rutin sebelum diberi peluang menjadi sebahagian daripada kumpulan sarkas,” katanya ketika ditemui K2 usai sesi persembahan sarkas The Great Britain Circus di Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Angelina yang bersekolah di rumah berkata, persembahan di Bukit Jalil merupakan kali pertama dia melibatkan diri dalam sarkas dan ia satu pengalaman yang sangat berharga.

Kongsinya lagi, menjadi sebahagian daripada kumpulan sarkas menemukannya dengan keluarga baharu yang terdiri daripada ahli seni dan penghibur pelbagai genre.

Turut membesar dengan persekitaran sarkas ialah Sory Conde. Dia mengakui bahawa dunia sarkas merupakan satu keluarga besar.

Ditugaskan sebagai seorang pembawa acara, perjalanan Conde dalam dunia sarkas bermula apabila dia menyertai sekolah sarkas di Afrika.

“Di Afrika, kita ada sekolah sarkas dan di situ kami belajar untuk menjadi penghibur mengikut jenis persembahan dipilih.

“Dalam sarkas ini terdapat pelbagai genre persembahan seperti tarian akrobatik, badut, seni ekstrim motocross dan basikal BMX serta lain-lain lagi,” katanya yang sudah 17 tahun berpengalaman menjadi penghibur sarkas.

Bercerita tentang sarkas, Conde memberitahu bahawa ia merupakan satu bentuk seni pentas yang menampilkan pelbagai jenis genre persembahan.

ANTARA aksi menarik yang ditampilkan oleh ahli akrobatik daripada kumpulan The Great Britain Circus.

Pada zaman dahulu, sarkas turut mengadakan persembahan haiwan yang pernah mencetuskan kontroversi kerana ia melibatkan spesies terancam.

Bagaimanapun, perkembangan teknologi telah membawa perubahan apabila genre itu kini dipersembahkan dalam bentuk robotik dan visual projektor tiga dimensi.

Secara tradisionalnya, kumpulan sarkas akan bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi untuk membuat persembahan sebagai modus operandi mereka.

Menjadi kebiasaan di negara-negara Eropah dan Barat, budaya sarkas telah membentuk satu keluarga besar apabila ahli penghibur menjadikannya sebagai karier.

“Penghibur sarkas ada di merata tempat. Jika ada penganjur yang membuka sarkas, kami ditawarkan peluang kerja dan berkumpul bersama-sama.

“Setiap lokasi ada kenangan manis kami bersama, namun apa yang penting adalah kegembiraan yang disalurkan buat penonton di setiap lokasi,” katanya yang pernah terlibat dalam pelbagai kumpulan sarkas di dunia termasuk The Great Britain Circus.

Selain Corde, seorang penunggang motocross dari Iran, Mohamed Reza Jameyi, 34, berkata, dia mempunyai pelbagai kenangan manis terlibat dalam sarkas.

Pemuda yang sudah 14 tahun berkecimpung dalam dunia sarkas itu berkata, dia pastinya akan bertemu dengan keluarga baharu apabila berkunjung ke setiap lokasi .

“Persembahan motocross merupakan salah satu genre ekstrem yang menjadi tarikan dalam sarkas.

“Tentunya ada risiko keselamatan yang perlu diambil perhatian. Ada ketikanya pula kita perlu bekerjasama dengan orang baharu di tempat berbeza.

“Oleh kerana nilai kekeluargaan yang dipupuk dalam budaya sarkas, kami mudah akrab dan senang bekerjasama untuk merancang persembahan” katanya yang sudah beberapa kali melakukan persembahan di Malaysia.

Selain seni ekstrem dan akrobatik, salah satu genre persembahan yang signifikan dengan sarkas adalah badut.

Pertama kali membuat persembahan di Malaysia, badut berasal dari Brazil, Pablo Camargo, 21, berkongsi bahawa badut sarkas menjadi elemen komedi yang menceriakan suasana.

Katanya, badut membezakan sarkas dengan persembahan lain kerana genre itu merupakan seni pentas yang versatil.

“Dalam setiap sarkas ada badut yang menjadi selingan untuk meredakan debaran penonton selepas melihat persembahan ekstrem.

“Dalam budaya sarkas, badut bukan sahaja melawak, tetapi turut berinteraksi dengan penonton.

“Ia juga satu pengalaman buat badut berada di atas pentas,” jelasnya yang mewarisi bakat badut daripada datuknya.

Tambahnya, walaupun badut bukanlah persembahan ekstrem, namun bukan mudah menjadi seorang badut.

Kongsinya lagi, seorang badut perlu ada jiwa dan kejujuran dalam memberikan kegembiraan kepada penonton.

“Badut berbeza daripada pelawak secara umum. Kami kurang berkomunikasi secara bicara, tetapi lebih kepada bahasa badan.

“Dalam diri seorang badut, mereka perlu karakter dan apabila membuat persembahan sifat humor itu akan ‘keluar’ secara semula jadi,” katanya yang kerap membuat persembahan bersama The Great Britain Circus.

Camargo berkata, dia banyak belajar ilmu badut daripada mendiang datuknya yang juga seorang badut.

Katanya, dia juga membesar dalam keluarga yang berkecimpung dalam dunia sarkas.

Bercerita tentang perbezaan sarkas di luar dan Malaysia, Camargo memberitahu, sarkas bukanlah satu budaya di negara ini.

Namun katanya, masyarakatnya terbuka untuk merasai satu pengalaman baharu.

“Saya amat kagum dengan sifat keterbukaan rakyat Malaysia terhadap budaya baharu. Mereka juga amat bersemangat apabila menonton persembahan sarkas.

“Hal ini membuatkan kami lebih bersemangat untuk membuat persembahan dan memberikan yang terbaik buat penonton.

“Berbeza dengan senario di Barat, sarkas sudah menjadi kebiasaan. Maka, perlu ada pembaharuan dalam setiap persembahan untuk membuat penonton teruja,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN