fbpx

Terus berkhidmat sementara tunggu rayuan penempatan – Dr. Zaliha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Zaliha bercakap kepada media selepas merasmikan National Regulatory Conference 2023 di M Resort & Hotel Kuala Lumpur hari ini. -Foto oleh SADDAM YUSOFF/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) meluluskan 27 lagi rayuan permohonan penempatan pegawai perubatan di seluruh negara menjadikan jumlah keseluruhan rayuan yang telah diluluskan adalah 359 orang.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, rayuan itu diluluskan baru-baru ini selepas KKM meluluskan 332 rayuan pada 27 Jun dan 24 Julai lalu apabila menerima 1,843 rayuan daripada 4,155 pegawai perubatan yang ditawarkan ke jawatan tetap.

Katanya, kesemua mereka telah selesai melapor diri di tempat baharu.

“Kalau kita lihat ada lebih 1,800 rayuan dan kita sudah luluskan 332 rayuan, dan terbaharu ada lagi 27 rayuan telah diluluskan dan kesemua mereka telah pun melaporkan diri.

“Kalau ada rayuan selepas pada itu kita akan lihat kembali, dan kalau dah sampai tempat tersebut, selesaikan (berkhidmat) dahulu,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian National Regulatory Conference 2023 di sini, hari ini.

Tambah Dr. Zaliha, beliau meminta kesemua pegawai perubatan yang masih menunggu permohonan pertukaran penempatan mereka diluluskan, untuk kekal bersabar dan pada masa sama teruskan berkhidmat dengan cemerlang.

“Pastinya kita perlu melihat kepada tugasan hakiki sebagai seorang doktor, sebagai penjawat awam untuk terus berkhidmat. Perkhidmatan perlu diteruskan,” pesannya.

Selain itu, beliau menegaskan pihaknya akan sentiasa meneliti rayuan permohonan penempatan yang dikemukanan dari semasa ke semasa dan buat sementara waktu, proses berkenann dihentikan seketika bagi memastikan setiap daripada pegawai perubatan menjalankan tugas dengan baik.

“Teruskan berkhidmat tetapi tidak bermaksud rayuan itu langsung tidak dipedulikan, kita akan kaji lagi rayuan-rayuan yang mungkin memang ada merit untuk kita perhalusi kembali.

“Insya-Allah, kalau ada juga rayuan itu satu dia ada merit dan keduanya mungkin penempatan yang mereka minta ada kekosongan dan kita akan cuba perhalusi permintaan tersebut.

“Masih terbuka tetapi kita akan ada henti sekejap untuk memastikan mereka buat kerja dahulu,” jelasnya.

Terdahulu, Dr. Zaliha berkata, rayuan pertukaran penempatan yang diluluskan itu melibatkan negeri di Semenanjung yang berdekatan dan kebanyakannya bukan mengikut penempatan rayuan kerana tiada kekosongan jawatan di negeri seperti Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI