SENI digital merujuk kepada pelbagai karya seni dan amalan menggunakan teknologi digital sebagai satu elemen penting dalam proses mempersembahkan kreativiti tersebut.
Antara istilah yang kerap digunakan bagi seni digital ialah seni komputer, seni multimedia atau seni media baharu.
Justeru, digital artist merujuk kepada artis yang memanfaatkan teknologi digital dalam menghasilkan dan mengeluarkan sesuatu karya seni.
Salah satu penggiat seni digital yang semakin mencipta nama di negara ini ialah seorang anak muda yang lebih dikenali dengan nama Grasshopper.
Dia bahkan kini mempertaruhkan pameran karya seni digital solonya yang boleh disaksikan di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur bermula 9 Ogos lalu sehingga 30 Oktober depan.
Pemilik nama sebenar Abdul Shakir Abu Samah atau mesra disapa Shakir itu ternyata seorang anak muda berbakat besar yang mampu menterjemah sesuatu maksud menerusi pancaran cahaya.
Secara umumnya, penghasilan seni digital melibatkan komputer riba bagi memancarkan cahaya, animasi atau audio menggunakan lampu diod pemancar cahaya (LED).
Menghasilkan banyak karya seni digital menarik sebelum ini, jejaka berusia 31 tahun itu berkongsi, dia mula menceburi bidang seni digital sejak di bangku sekolah menengah.
“Awalnya hanya untuk customise laman media sosial terutamanya Myspace ketika itu. Bermula dari situ, saya cenderung untuk berkarya melalui medium digital.
“Selepas tamat pengajian di universiti dalam bidang multimedia kreatif, saya mula bekerja di sebuah syarikat yang melakukan banyak eksperimentasi ke atas media baharu dan juga seni digital.
“Melalui itu, saya dapat mengasah dan menerokai lebih banyak kemahiran dan peluang untuk saya menghasilkan karya sendiri,” katanya kepada K2.
Tambah Shakir, minat mendalam terhadap karya seni digital juga mendorong dirinya untuk menjadi salah seorang pengasas sebuah platform pameran karya seni digital di negara ini yang dikenali sebagai Filamen.
Jelasnya, idea untuk menubuhkan Filamen tercetus selepas Shakir bekerja dengan sebuah syarikat yang melakukan banyak penyelidikan dan pembangunan dalam bidang media baharu.

“Dengan penubuhannya, kami mendapat peluang untuk mula menyertai beberapa festival seni bagi mempamerkan karya seni kami.
“Bermula detik itu, kami mula berkolaborasi bersama lebih ramai artis media baharu, lebih-lebih lagi para pelajar dari universiti untuk mempamerkan karya-karya mereka,” ujarnya.
Bakat yang dimiliki Shakir seterusnya digunakan sebaiknya menerusi beberapa projek besar yang pernah dikendalikannya.
Antaranya termasuk sebuah projek seni digital bersama pelajar sekolah rendah Australian International School yang merupakan program kerjasama Kedutaan Australia di Malaysia, pihak Mosster
Studio dari Melbourne dan juga Filamen dalam menghasilkan satu instalasi pemetaan cahaya (projection mapping) di bangunan Kedutaan Australia di Kuala Lumpur.
Akui anak kelahiran Batang Kali, Selangor itu, projek tersebut juga antara projek yang paling disukainya.
“Salah satu karya yang dipersembahkan pada ketika itu adalah karya yang dihasilkan oleh pelajar-pelajar sekolah tersebut dan bagi saya, ia cukup bermakna memandangkan peluang itulah yang boleh digunakan sebagai pendedahan kepada orang ramai berkenaan penghasilan karya seni digital ini,” katanya.
Sama seperti pengkarya seni lain, biarpun seni digital ini semakin diterima ramai, namun Shakir berkata, dia tetap berdepan cabaran dari beberapa segi, terutamanya sokongan orang ramai.
“Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa antara cabaran besar sebagai artis seni digital ini adalah sokongan yang diberikan terhadap penggiat-penggiat seni di negara ini.
“Bagi saya, artis media baharu ini perlu bekerja bersama individu atau pasukan yang mempunyai kemahiran khusus dalam penterjemahan seni digital bagi membantu artis merealisasikan idea impiannya.
“Selain itu, pihak kerajaan dan juga organisasi korporat juga wajar memberi lebih banyak peluang kepada lebih ramai artis untuk berani menggunakan media baharu sebagai medium penyampaian karya mereka,” katanya.
Bercakap tentang projek Atma Kirana karyanya di Balai Seni Negara, Shakir memberitahu ia cukup istimewa memandangkan karya seninya itu akan diterjemahkan bersempena sambutan bulan kemerdekaan negara.
Menerusi Atma Kirana, Shakir menterjemah pancaran cahaya aneka warna yang menggambarkan Rukun Negara.
“Nama Atma Kirana diambil daripada perkataan Melayu lama yang bermaksud ‘jiwa yang indah’.
“Inspirasi awal karya ini ialah buku Rukun Negara: Selayang Pandang karya daripada saudara Eddin Khoo. Saya amat terpanggil apabila membaca buku berkenaan catatan ringkas dan juga peringatan tentang asas pembentukan Rukun Negara itu.
“Sebagai salah seorang rakyat Malaysia, kita selalu sahaja mengucap Rukun Negara ketika di sekolah.
“Bahkan ada dicetak di belakang buku latihan semua pelajar, tapi bagi saya ia sekadar rutin dan hafalan ketika di sekolah. Apa yang saya mahu ketengahkan melalui karya ini adalah berkenaan renungan dan juga diskusi tentang Rukun Negara itu sendiri,” ujarnya.
Pembentukan Rukun Negara itu sangat indah dan diolah daripada perancang dan pemikir negara ketika itu yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama.
Justeru, Shakir berharap agar ia boleh juga sama-sama dihayati dalam bentuk pameran seni digital.
Tambahnya lagi, dia cukup berpuas hati dengan penterjemahan Atma Kirana memandangkan menerusi karya ini, dia turut bekerjasama bersama mereka yang mahir dalam industri instalasi seni digital.
“Untuk karya ini saya telah berkolaborasi bersama pasukan Pixel World yang membantu saya untuk memastikan sistem kekuda (truss system) selamat untuk digantung dan juga untuk pameran selama tiga bulan.
“Dalam masa yang sama, untuk medium atau kanvas pameran, saya berkolaborasi bersama pasukan Helio Media yang juga salah sebuah pasukan yang melakukan beberapa program seni digital melalui program iNYALA. Pasukan Helio Media mengitar semula panel LED daripada papan iklan untuk saya gunakan sebagai kanvas pameran ini,” katanya.














