fbpx

Mahkamah: Zeti nafi task force siasat 1MDB untuk jatuhkan Najib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zeti ketika hadir di Mahkamah Tinggi hari ini. - Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz menafikan Pasukan Petugas Khas (task force) yang pada 2015 adalah untuk menjatuhkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan pimpinannya.

Sebaliknya pada ketika penubuhan pasukan tersebut, adalah untuk menyiasat 1MDB kerana terdapat kebimbangan yang sangat tinggi mengenai hutangnya.

“Sekiranya 1MDB gagal melunaskan hutangnya, implikasi yang terpaksa ditanggung adalah berlarutan. Pada ketika Pasukan Khas ditubuhkan, tiada sebarang pengetahuan bahawa terdapat kaitan di antara 1MDB, dana (RM2.28bilion) dan akaun peribadi Perdana Menteri (Najib).

“Kami (pasukan petugas khas 2015) juga tidak mempunyai sebarang pengetahuan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) secara diam-diam menyiasat mengenai Perdana Menteri. Ia tidak pernah dinyatakan (oleh SPRM) dalam mesyuarat pasukan,” kata saksi pendakwaan ke-46 itu.

Sementara itu, ketika disoal peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhubung penglibatan suami dan anak-anaknya yang dikatakan menerima wang daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, Zeti mengatakan dengan tegas bahawa beliau tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai dakwaan itu.

Perbicaraan dihadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung lagi esok.

Najib, 70, berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Terdahulu pada prosiding pagi, Najib memfailkan permohonan supaya Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes dana RM2.3 bilion 1Malaysia 1MDB yang dihadapinya.

Menurut Muhammad Shafee, pihaknya telah memfailkan permohonan itu susulan pendedahan hakim itu pada bulan lalu bahawa beliau dan bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan, pernah menjadi rakan kongsi di firma guaman sama sebelum ini.

Justeru sekiranya, permohonan ini dibenarkan pihaknya memohon supaya keseluruhan perbicaraan ini dibatalkan dan tertuduh dibebaskan daripada tuduhan.

Selepas mendengar makluman pemfailan permohonan itu, hakim Collin kemudian menetapkan 17 Ogos ini untuk mendengar permohonan berkenaan.

Sebelum ini, dalam prosiding pada 26 Julai lalu, hakim Collin mendedahkan bahawa Jasmine pernah menjadi rakan kongsi (di firma Zain & Co), ketika beliau menjadi peguam 10 hingga 15 tahun lalu.

Isu itu dibangkitkan apabila Muhammad Shafee ingin mendapat pengesahan sama ada Jasmine akan dipanggil sebagai saksi pendakwaan.

Ini kerana Jasmine dikatakan salah seorang sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang turut terbabit dalam skandal kewangan 1MDB, dan disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI