fbpx

Menipu Najib umpama gali kubur sendiri – Jasmine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jasmine Loo

KUALA LUMPUR – Bekas peguam syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan memberitahu adalah sesuatu yang mustahil dan tidak masuk akal untuk berkonspirasi dengan mana-mana pihak untuk menipu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Adalah mustahil untuk berkonspirasi (dengan sesiapa) untuk (menipu) Perdana Menteri yang masih berkhidmat. Ia seperti menggali kubur sendiri,”ujar wanita itu ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Deepa Nair.

Saksi itu juga sekali lagi menyatakan bahawa beliau tidak pernah terlibat dengan mana-mana perancangan untuk menyelewengan dana 1MDB dan tidak mengetahui wang yang diterimanya adalah hasil penyelewengan tersebut.

Terdahulu, saksi itu tidak bersetuju dengan cadangan peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bahawa beliau bersengkongkol dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low untuk menipu dana 1MDB.

Selain itu, ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, saksi itu berkata tidak mungkin transaksi-transaksi 1MDB yang mencecah bilion ringgit boleh diteruskan sekiranya tidak diluluskan oleh Menteri Kewangan dan Perdana Menteri iaitu Najib.

Terdahulu, Jasmine menyatakan, Najib tidak pernah meminta penjelasan daripadanya berhubung mana-mana dokumen perjanjian yang pernah disediakannya bagi transaksi-transaksi yang dijalankan oleh syarikat terbabit.

Walaupun menyatakan, beliau bukanlah orang yang tepat untuk berbuat demikian kerana hanya seorang peguam di syarikat terbabit, namun Jasmine menyatakan dirinya tidak pernah dipanggil untuk memberikan penjelasan oleh sesiapa termasuk Najib.

Tambahnya, walaupun dokumen-dokumen yang disediakan adalah `dokumen undang-undang’ namun sesiapa sahaja boleh memahaminya.

“Kalau ada yang tidak faham, maka boleh minta penjelasan,”katanya.

Terdahulu, Jasmine menyatakan Najib pernah `membersihkan’ namanya dan bekas Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Casey Tang Keng Chee pada sidang Parlimen bertarikh 7 Mac 2017.

Jasmine kemudian membaca hansard Parlimen yang mana Najib antara lainnya menjawab bahawa siasatan terhadap wanita itu dan Keng Chee telah selesai dan tiada sebarang tindakan diambil ke atas mereka.

Menjawab pertanyaan berhubung mengenai barangan mewah yang diterima dan percutian luar negara ditaja Jho Low, wanita itu menyatakan, beliau menerimanya atas dasar persahabatan dan tanpa sebarang ikatan.

“Saya percaya percutian di antara keluarga dan rakan adalah disebabkan kami mempunyai kawan-kawan yang sama,”katanya.

Jasmine mengakhiri keterangannya dengan menyatakan bahawa beliau hadir memberi keterangan sebagai seorang saksi dan bekas pegawai 1MDB.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 22 April ini. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI