fbpx

Sanusi perlu sokongan, semangat hadapi kes mahkamah dan saman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi hadir di Kompleks Pas di Alor Setar, malam tadi selepas PN memperoleh kemenangan besar pada PRN ini.-Foto oleh SHAHIR NOORDIN

ALOR SETAR – Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memohon sokongan daripada seluruh rakyat dalam meneruskan perjuangan termasuk berkaitan kes mahkamah dan saman ratusan juta ringgit dihadapinya.

Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu, beliau sesekali tidak akan menyerah kalah dan akan terus berhadapan dengan setiap rintangan melanda.

“Saya perlukan sokongan dan dukungan semangat daripada tuan-tuan untuk meneruskan saki-baki perjuangan yang bersabit daripada pilihan raya ini iaitu beberapa kes mahkamah dan saman ratusan juta (ringgit).

“Tetapi saya tidak akan menyerah (kalah) begitu sahaja. Apa sahaja yang dihadapkan kepada kita di hadapan, dengan keyakinan dan kepercayaan seluruh rakyat Kedah bersama kita, kita akan hadapi apa sahaja rintangan melanda,” katanya ketika berucap di Kompleks Pas, di sini malam tadi.

Muhammad Sanusi dalam ucapan sama mengakui beliau sebenarnya terkesan dengan serangan yang disasarkan kepadanya selama ini.

“Sepanjang tempoh berkempen, malahan sebelum daripada itu apabila DUN (Dewan Undangan Negeri) dibubarkan, tipulah kalau saya kata tidak rasa tertekan dengan semua serangan yang dihadapkan kepada saya sebagai ketua kerajaan.

“Dengan penuh tawaduk dan dengan sokongan rakan-rakan dalam kepimpinan dan seluruh rakyat Kedah, saya yakin dan sangat percaya (rakyat) akan terus (berada) di belakang saya,” ujarnya.

PN memperoleh kemenangan besar di Kedah apabila menawan 33 daripada 36 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI