fbpx

Semoga halangan ini ada hikmah – Mimi Lana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pelakon Mimi Lana berharap diberikan kekuatan untuk terus melangkah ketika berhadapan halangan yang menyebabkan terjadinya pembatalan majlis pernikahannya bersama Syafiq Kyle.

Pemilik nama sebenar Mimi Rozaiana Zainal Abidin itu juga menganggap segala yang berlaku sebagai ujian untuk menjadikan mereka berdua sebagai muslim lebih baik.

“Semoga Allah merahmati saya dan dia (Syafiq) serta memberikan kekuatan kepada kami.

“Semoga halangan ini ada hikmah di sebaliknya dan muncul pada waktunya,” tulisnya menerusi Instagram selepas berita pembatalan pernikahannya tular malam tadi.

Menerusi perkongsian sama, wanita berusia 27 tahun itu turut menyatakan keputusan diambil kini adalah pertimbangan paling baik.

“Mungkin apa kami percaya perkara paling buruk itulah sebenarnya yang terbaik untuk kami di dunia dan akhirat.

“Semoga Allah memberi kami kekuatan dan kesabaran untuk terus melangkah,” katanya lagi.

Dilihat terus positif dalam mengharungi dugaan, Mimi tidak ketinggalan meluahkan kesyukuran kerana dikelilingi ramai insan berhati mulia.

Malah pelakon drama Perempuan Itu berdoa agar dia dan Syafiq atau Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak, 31, terus dilimpahi kegembiraan.

“Semoga Allah sentiasa membuatkan kami berada dalam keadaan positif dan dikelilingi insan yang mempunyai niat baik dalam hati.

“Setiap titisan air mata yang mengalir menjadi penghapus dosa, semoga doa yang dipanjatkan dimakbulkan.

“Semoga awak dan saya sentiasa tersenyum,” tulisnya lagi pada hantaran yang meraih pelbagai komen itu.

Sementara itu, dalam semakan Kosmo! Online dalam laman Instagram Syafiq mendapati tiada sebarang perkongsian status terbaharu sebaliknya hantaran terakhir adalah pada 1 Ogos lalu.

Terdahulu, Mimi dan Syafiq mengejutkan ramai apabila membatalkan majlis pernikahan dan resepsi yang dijadualkan berlangsung di Puncak Rimba, Bentong, Pahang pada 18 Ogos ini.

Difahamkan dua majlis bakal diadakan pada hari sama iaitu ijabkabul pada waktu pagi, manakala sebelah malam adalah majlis persandingan.

Hanya berbaki seminggu lagi bergelar suami isteri, mesej pembatalan pernikahan Mimi dan Syafiq yang disampaikan pengurus aktres itu, Iman Tang  mencetuskan pertanyaan ramai.

Begitupun, dalam temu bual bersama media, Iman menyatakan Mimi yang memaklumkan sendiri pembatalan tersebut dua hari lalu sedang mencari tarikh lain.

Malah Iman juga menafikan punca pembatalan berkaitan dengan krisis peribadi, tetapi disebabkan keterikatan aktres itu dengan jadual penggambaran, selain ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan dengan Syafiq.

Sebelum ini, tular mesej yang memaklumkan majlis pernikahan pasangan pelakon filem Pusaka itu dibatalkan pada saat akhir atas sebab yang tak dapat dielakkan.

Biarpun pernah terputus hubungan selepas lima tahun bercinta, kasih mereka kembali bertaut dan pada 21 Januari lalu, Mimi berkongsi foto jari disarungkan cincin sebagai simbolik pertunangan.

Khamis lalu dia juga diraikan rakan terdekat termasuk Nabila Huda, Fazura, Amelia Henderson dan Sherry Alhadad menjelang hari bahagianya bersama Syafiq.

Aktor itu pula dalam kenyataan kepada media sebelum ini turut memaklumkan sudah bersedia menggalas tanggungjawab selain mendedahkan persiapan majlis berjalan lancar.

Buat masa ini baik Mimi yang dikatakan sudah mengambil cuti panjang daripada pihak produksi sejak semalam tidak dapat dihubungi, begitu juga dengan Syafiq. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI