fbpx

PRN: Peti undi tidak ditutup, dua laporan polis dibuat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANDREW Ooi (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Timur Laut, George Town, Pulau Pinang, hari ini.

GEORGE TOWN – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Terubong, Andrew Ooi membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, hari ini kerana mendakwa berlaku insiden peti undi tidak ditutup dengan sempurna di pusat pengundian DUN berkenaan.

Andrew mendakwa insiden itu berlaku di dua lokasi iaitu di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Relau dan Dewan Blok 4E, di Farlim, di sini.

Andrew berkata, dua laporan polis telah dibuat di IPD Timur Laut hari ini berhubung insiden berkenaan dan pihaknya menuntut penjelasan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kejadian itu.

”Saya buat rondaan pertama di SK Seri Relau kira-kira pukul 11.30 pagi dan saya dapati ada peti undi di saluran 15 yang tidak ditutup serta diikat dengan tali kabel, malah pelekat SPR juga tidak diletakkan di peti undi tersebut.

”Saya telah meminta SPR menghentikan proses undi di saluran berkenaan dan selepas itu Ketua Tempat Mengundi (KTM) terus mengambil tali kabel dan pelekat SPR untuk diletakkan di peti undi tersebut,” katanya ketika ditemui di IPD Timur Laut di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, dia kemudian meninjau sebuah lagi pusat pengundian di Farlim kira-kira pukul 1.50 petang dan mendapati masalah yang sama berlaku pada peti undi di situ.

“Bila saya tanya mereka (petugas SPR) beri alasan bahawa mereka terlupa menutup peti undi ini. Jika ia berlaku di satu tempat mungkin betul mereka terlupa, tetapi ia telah berlaku di dua lokasi, jadi mungkin masalah yang sama turut berlaku di pusat mengundi lain juga,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya juga menuntut SPR menjalankan pilihan raya semula di DUN Paya Terubong susulan insiden berkenaan kerana kejadian itu disifatkan tidak adil kepada calon yang bertanding di situ

”Saya mempersoalkan kredibiliti SPR dalam menjalankan proses pilihan raya di DUN Paya Terubong dan seluruh Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pulau Pinang, Dr Siti Nazariah Abd Halim ketika dihubungi berkata, SPR akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi berhubung insiden berkenaan.

”Tunggu daripada SPR untuk keluarkan kenyataan, saya tengan uruskan hal ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI