fbpx

Kerajaan jamin kaji kenaikan Elaun Sara Hidup Nelayan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad bergambar bersama nelayan pada Majlis Mesra Madani bersama Nelayan di Kompleks LKIM Kedah di Kuala Kedah, hari ini.

ALOR SETAR – Kerajaan memberi jaminan untuk mengkaji kenaikan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) mengikut kemampuan kewangan negara pada masa hadapan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kenaikan itu belum dapat dilaksanakan ketika ini memandangkan kemampuan kerajaan yang masih terhad kerana pemulihan ekonomi negara masih berlaku.

“Ia (kenaikan elaun) bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan dan akan dipenuhi berdasarkan kemampuan kerajaan. Kalau negara kita, ekonomi mulai pulih, memang sedang pulih dan apabila berlaku pendapatan bertambah insya-Allah tuntutan nelayan ini akan ditunaikan.

“Kewangan kerajaan masih lagi terhad kerana pemulihan ekonomi masih berlaku, namun kita juga sedang mencari jalan terbaik bagaimana nak meringankan beban rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Mesra Madani bersama Nelayan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kedah, di sini hari ini.

Pemberian ESHN kepada nelayan ketika ini sebanyak RM300 sebulan kepada nelayan laut dan RM250 kepada nelayan darat.

Mengulas lanjut kata beliau, ekonomi negara yang semakin pulih ketika ini terutama selepas pandemik Covid-19 memerlukan kestabilan politik.

“Kalau tak stabil macam mereka tengah main isu pilihan raya. Kewangan sedang pulih, jadi antaranya kestabilan penting kalau main isu nak tukar kerajaan, pelabur teragak-agak nak datang,” ujarnya.

Menurutnya, sehingga ini kerajaan melalui LKIM meneruskan bantuan elaun berkenaan kepada 38,000 nelayan di seluruh negara dengan peruntukan RM136.8 juta.

“Kerajaan juga masih meneruskan Skim Subsidi Diesel dan Petrol Nelayan sebanyak 70 juta liter sebulan dengan kadar ditetapkan RM1.65 seliter yang memanfaatkan 2,144 nelayan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, kementerian sedang mengkaji cadangan untuk pemberian subsidi padi mengikut hasil pengeluaran padi.

“Ada pihak mencadangkan supaya subsidi diberikan kepada output hasil padi. Ia masih di peringkat kajian buat masa ini berdasarkan purata nilai tan padi sawah,” katanya. – KOSMO!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI