LANGKAWI – Penganjuran program berimpak tinggi di pulau peranginan ini pada setiap bulan mampu memulihkan semula ekonomi penduduk di situ, selain mengekalkan statusnya sebagai pusat pelancongan terkenal negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Langkawi tidak boleh bergantung kepada program yang diadakan dalam tempoh tertentu seperti Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa (LIMA).
Katanya, beliau memahami kebergantungan ekonomi penduduk di pulau itu terhadap sektor pelancongan dan juga industri pertanian tempatan.
“Kita mahu di Langkawi ini mesti ada pelancongan domestik dan saya minta Datuk Nazif (Nazifuddin Najib, Ketua UMNO Bahagian Langkawi) berunding dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya untuk buat program setiap bulan di Langkawi supaya orang ramai datang.
“Barulah inap desa hidup, industri teksi, kereta sewa dan restoran boleh cari makan kerana rancangan jangka panjang dan sederhana mesti dibuat. Langkawi mesti dibangunakan semula, mesti terus dijadikan pusat pelancongan utama di negara kita,” katanya ketika berucap pada Program Desa Cerdas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Taman Nilam, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, jika kerajaan negeri tidak selari dengan Kerajaan Persekutuan, usaha-usaha tersebut sukar untuk dilaksanakan.
“Yang itu ke lain, yang ini ke lain, Menteri Besar pulak loklak, bergaduh dengan orang. Jadi 12 Ogos ini seperti kata Datuk Seri Saifuddin (Nasution Ismail), Sanusi (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor silakan turun dari kerusi itu bagi kepada Kerajaan Perpaduan supaya orang Langkawi dapat manfaat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid ketika ditemui selepas majlis berkenaan berkata, antara perkara yang perlu diberi perhatian segera adalah perkhidmatan feri yang dilihat memberi kesan terhadap jumlah kedatangan pelancong ke pulau ini.
“Kawasan laluan feri itu berlumpur ertinya kawasan itu agak cetek maka dari segi laluan feri itu dikurangkan kecuali apabila berlaku peningkatan paras air.
“Jadi usaha-usaha yang akan dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan adalah menambah peruntukan kerana Langkawi perlu dimajukan semula,” jelasnya.
Tambahnya, usaha menyelesaikan isu-isu di Langkawi termasuk perkhidmatan feri itu akan mudah diselesaikan sekiranya pentadbiran kerajaan negeri seiring dengan Kerajaan Persekutuan. – KOSMO! ONLINE