fbpx

Empat termasuk dua beradik ditahan curi lembu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LEMBU yang dipercayai dicuri ditemukan dalam satu serbuan di sebuah kandang lembu di Jerantut semalam.

LIPIS – Taktik sekumpulan individu yang mencuri dan membawa lembu ke kandang milik mereka sebelum dijual bagi mengaburi pihak berkuasa akhirnya terbongkar selepas empat individu termasuk dua beradik ditahan polis semalam.

Dalam serbuan yang dilakukan polis di sebuah kandang lembu di Jerantut semalam, dua beradik berusia 27 dan 36 tahun yang merupakan pemilik kandang ditahan bersama dua lagi individu yang dipercayai penjual lembu curi.

Ketua Polis Daerah Lipis Superintenden Azli Mohd Noor berkata, dalam serbuan di sebuah kandang lembu Kampung Paya Gunong di Jerantut itu menemukan 13 ekor lembu yang dilaporkan hilang kelmarin berdasarkan tanda khas pada telinga lembu berkenaan.

“Dalam serbuan pada pukul 6.30 petang di sebuah kandang lembu itu, polis menemukan enam lelaki yang sedang berurusan menjual beli lembu dan merampas 13 ekor lembu, sebuah lori dan enam telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM13,200.

“Tangkapan dilakukan ke atas dua lelaki yang merupakan pemilik kandang dan dua lelaki yang disyaki penjual lembu curi manakala dua lagi lelaki yang dipercayai pembeli lembu diambil keterangan,”katanya di sini hari ini.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan siasatan giat dilakukan.

Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati dua suspek adik beradik yang merupakan pemilik kandang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah manakala seorang suspek yang dipercayai penjual lembu curi mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan cubaan mencuri lembu.

Dalam pada itu katanya polis menerima aduan kehilangan lembu daripada seorang penternak berusia 37 tahun yang mendapati 13 daripada 228 ekor lembu ternakannya di ladang Felda Koyan 1 di sini hilang semalam melibatkan kerugian RM35,000.

Katanya, pengadu yang turut meminta bantuan kenalannya mencari maklumat lembu yang hilang mendapati ada lembu hendak dijual di Jerantut dan mendapati ia adalah lembunya berdasarkan tanda khas pada telinga lembu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI