fbpx

MHO gesa PDRM siasat sindiket tipu pelaburan segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hishamuddin (tengah) bersama kira-kira 500 mangsa yang hadir bagi menyerahkan penyataan tambahan dan surat mohon status di JSJK, Bukit Aman, hari ini.

KUALA LUMPUR – Lebih 500 mangsa sindiket penipuan pelaburan membuat serahan penyataan tambahan dan surat mohon status daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman, di sini hari ini.

Serahan tersebut dibuat susulan tiada pembelaan atau tindakan diambil terhadap syarikat-syarikat pelaburan tersebut sejak laporan polis dibuat beramai-ramai di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada Mac lalu.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, setelah laporan polis dibuat, aduan turut dihantar ke Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Ujarnya, walaupun siasatan dilakukan dan pengadu-pengadu juga diambil keterangan, namun nasib mangsa-mangsa yang mengalami kerugian masih belum terbela.

“Apabila kita pergi pada pihak polis, mereka klasifikasikan kes ini sebagai Refer to Other Agency (ROA) dan minta untuk rujuk kepada agensi lain.

“Bila pergi pada agensi lain, siasatan mereka lakukan, keterangan pengadu pun hanya beberapa orang sahaja diambil. Tetapi tiada perkembangan lain diterima. Mangsa-mangsa masih belum terima duit mereka.

“Jadi pada siapa lagi kami nak berharap kalau bukan pada agensi penguat kuasa? NGO tiada kuasa untuk jalankan siasatan. Kami cuma nak perkembangan semasa daripada pegawai penyiasat,” katanya dalam sidang akhbar berhadapan JSJK, di sini hari ini.

Tambahnya, pihaknya berharap dengan serahan tambahan yang dibuat hari ini, siasatan lanjut dapat dilakukan PDRM di bawah Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Harapan kami mudah, jalankan siasatan, kalau betul bersalah, tuduh syarikat tersebut di mahkamah. Kami sudah berikan tempoh yang munasabah sejak buat laporan dibuat. Sampai bila lagi mangsa-mangsa perlu tunggu,” ujarnya.

Pada Mac lalu, Kosmo! melaporkan harapan hampir 3,000 mangsa untuk mendapat pulangan imbuhan lumayan akhirnya lebur setelah didakwa terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan yang membabitkan kerugian lebih RM830 juta.

Antara pelaburan ditawarkan adalah Tabung Amanah, saham boleh tebus syariah atau ‘Islamic Redeemable Shares (RPS-i), Nota Jangka Sederhana (MTN) dan Sukuk.

Menurut MHO, mangsa didakwa tidak lagi menerima bayaran dividen dan terdapat syarikat-syarikat berkenaan juga telah menebus semula saham tanpa membuat sebarang pembayaran kepada pelabur.

Salah seorang mangsa, Fazlifah Awang, 48, berkata, dirinya telah menunggu sangat lama untuk pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap syarikat-syarikat pelaburan tersebut.

Katanya yang melabur kira-kira RM150,000 pada 2019, walaupun sudah melantik peguam untuk mengambil tindakan undang-undang, peguam syarikat pelaburan tersebut sentiasa bertukar-tukar dan tidak memberikan respon sewajarnya.

“Kami datang hari ini, bawa mesej jelas untuk menggesa agar PDRM mengambil tindakan segera. Semua ruang telah kami gunakan sebaiknya dengan membuat pelbagai laporan dan aduan.

“Mangsa-mangsa hari ini cuma perjuangkan dan mahu tuntut semula hak kami,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI