fbpx

PRN: Erdogan doakan kemenangan Kerajaan Perpaduan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar mengadakan pertemuan secara maya dengan Presiden Turkiye malam tadi.

PETALING JAYA – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mendoakan kejayaan parti-parti gabungan Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ni.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu disampaikan oleh Erdogan kepada beliau semasa pertemuan secara maya malam tadi.

“Malam tadi saya mengadakan pertemuan secara maya bersama sahabat saya Presiden Turkiye. Saya turut ditemani Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Kadir.

“Sebelum kami memulakan perbincangan, Presiden Erdogan sempat mendoakan kejayaan gabungan perpaduan dalam Pilihan Raya di enam Negeri di Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Anwar berkata, Erdogan turut memberikan komitmen akan berkunjung ke Malaysia dalam masa terdekat bagi memenuhi undangan beliau untuk memperkukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara.

Tambah beliau, kedua-dua mereka juga bersetuju untuk bersemuka semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York bulan depan.

“Kami berdua turut berbincang terkait kerjasama pelaburan antara Malaysia-Turkiye. Saya mengulangi komitmen pelaburan Malaysia Airport Holding Bhd sebanyak £200 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISGIA).

“Untuk itu, Batik Air telah terpilih sebagai operator untuk laluan KUL-ISG. Dijangka penerbangan Batik Air akan bermula pada Oktober 2023,” katanya.

Selain itu, kata Anwar, beliau dan Erdogan turut berbincang mengenai kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.

Kata beliau, Agensi Industri Pertahanan Turkiye (SSB) menghantar delegasi besar menyertai Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) baru-baru ini.

Anwar berkata, beliau kagum dengan kemajuan teknologi pertahanan Turkiye dan yakin Malaysia bakal mendapat manfaat besar hasil kerjasama erat antara Malaysia dan Turkiye.

“Sayugia saya bersetuju secara prinsip untuk memuktamadkan Memorandum Persefahaman dalam kerjasama pertahanan pada masa yang terdekat.

“Untuk rekod, jumlah perdagangan dengan Turkiye pada tahun 2022 berjumlah AS$4.62 bilion (meningkat sebanyak 12.6 peratus).

“Jumlah lebihan dagangan sebanyak AS$3.33 bilion kerana Turkiye mengimport minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI