PERNAH dituduh sebagai seorang isteri derhaka dan tidak taat kepada suami antara cemuhan yang paling besar pernah dihadapi wanita ini.
Pun begitu, kata-kata cerca dan komen nista daripada netizen itu langsung tidak pernah membuatkan dia terduduk apatah lagi melenting tidak tentu hala.
Cikamie Ku Gengster. Itu merupakan satu jenama pempengaruh yang bukan baharu dalam media sosial terutama dalam kalangan pengikut tegar aplikasi TikTok.
Keletah sepasang suami isteri yang memuat naik content cerita laki bini dalam loghat Kelantan itu membuatkan ramai menerima serta seronok melihat sketsa-sketsa cukup mencuit hati yang dipersembahkan.
Berpeluang menemu bual wanita dikenali dengan nama Cik Amie, anak jati Cik Siti Wan Kembang itu mengakui tidak pernah terfikir dirinya dan suami dikenali hingga ke saat ini.
Kata Cik Amie atau nama sebenarnya Alamin Mohammad, 34, penglibatannya secara aktif dalam media sosial bermula beberapa tahun lalu selepas memuat naik sebuah video yang dianggap suka-suka dan sekadar hiburan.
“Kami mula aktif dalam media sosial terutama TikTok apabila satu video kami tular iaitu video Dedi (nama panggilan suaminya) menghadiahkan sebentuk cincin sempena mengandungkan anak kedua.
“Ramai yang mengatakan Mami (nama panggilannya) seorang yang garang, gangster dan kelakar.
“Dari situ Dedi cuba buat sketsa spontan isu laki bini. Alhamdulillah dapat sambutan daripada pengikut sampailah ke hari ini,” katanya membuka bicara bersama Aura.
Sering memuat naik video yang melihatkan pasangan suami isteri sedang ‘bertekak’, Cik Amie menjelaskan, itu bukanlah seperti apa yang pengikut fikirkan dan jauh berbeza dengan realiti kehidupan mereka yang sebenar.

isteri derhaka.
Menurutnya, disebabkan rata-rata komen pengikut ingin melihat lagi content sebegitu (bertekak), mereka turuti sahaja.
“Netizen mahukan content sebegitu kerana isu yang kami sampaikan kena dengan realiti rumah tangga mereka.
“Sebelumnya, kami pernah buat content jenis sweet (manis-manis), tapi kurang penerimaan daripada penonton dan ternyata mereka ingin lihat celoteh kami yang suka ‘bertekak’,” ujarnya.
Kata ibu kepada dua cahaya mata itu lagi, menerusi video yang dimuat naik, orang ramai di luar sana boleh jadikan iktibar daripada apa yang mereka lakonkan.
Ujarnya, yang positif boleh jadikan teladan dan yang negatif dijadikan sempadan.
“Sebagai contoh, ramai yang kata Mami seorang isteri yang tidak baik, selalu tinggi suara dengan suami.
“Justeru, ambillah perkara tersebut sebagai pengajaran dan jangan jadi seperti isteri yang Mami lakonkan itu,” katanya lagi.
Lumrah dan asam garam sebagai pempengaruh media sosial tidak terlepas daripada kecaman dan cemuhan netizen, begitu juga dengan pasangan suami isteri bahagia ini.
Akui Cik Amie, apabila sudah masuk ke dalam dunia glamor, pasti kena mempersiapkan diri dengan apa saja tohmahan dan kata-kata kurang manis netizen.
Katanya, dia juga tidak terlepas dan lari daripada perkara tersebut. Pun begitu masih terkawal dan lebih banyak komen positif berbanding sebaliknya. Paling teruk baginya dilabel derhaka.
“Saya pernah dilabel dan dicop sebagai isteri derhaka. Itu paling teruk pernah saya kena. Saya bukan isteri derhaka seperti apa yang dikatakan.
“Pun begitu, jujur saya langsung tidak ambil hati dan biarkan sahaja komen-komen sebegitu berlalu dan tidak perlu kita nak melenting,” tuturnya yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Seni Reka (Fesyen dan Tekstil).
Seperkara lagi usikan nakal yang sering dilemparkan kepadanya adalah berkenaan usia dan wajahnya yang dikatakan lebih tua daripada suami biarpun mereka sebenarnya sebaya.

Ujar Cik Amie, dia sudah terbiasa dengan soalan dan sangkaan netizen sebegitu.
“Saya selalu dikatakan nampak lebih tua dan berusia daripada suami. Saya langsung tidak pernah ambil hati asalkan suami tetap menerima dan menyayangi.
“Lagipun lumrah wanita apabila sudah bersalin akan nampak lebih berusia daripada suami. Itu perkara biasa dan saya tak terasa langsung pun,” katanya.
Ditanya bagaimana dia membahagikan masa sebagai seorang ibu, isteri dan usahawan yang mempunyai perniagaan sendiri, Cik Amie bersyukur kerana suaminya, Mohd. Azuan Mohd. Noor cukup memahami dan saling membantu.
Katanya, dia dan suami biasanya akan membahagikan tugas masing-masing termasuklah menjaga dan mengasuh anak selain sibuk dengan kerja-kerja menghasilkan content.
Ditebak dengan soalan sampai bila mereka akan terus menghasilkan video, kata Cik Amie, selagi mana pengikut ingin melihat video mereka, selagi itu mereka akan ada.
“Selagi mana ada orang ingin melihat sketsa kami berdua, selagi itu kami akan menyajikan cerita-cerita terbaik daripada kami.
“Cerita kami akan kekal relevan kerana kami manghasilkan sketsa berkaitan cerita rumah tangga yang disifatkan tidak akan pernah habis dan luput sampai bila-bila,” katanya.
Mengakhiri perkongsian, ramai yang ingin tahu adakah dia akan membenarkan suaminya berkahwin dua, Cik Amie ada jawapan dan keputusan muktamad tersendiri.
“Ini adalah soalan famous yang sering diutarakan pengikut. Sudah semestinya saya tidak akan beri lampu hijau kepada suami.
“Kenapa saya berkata begitu, kerana saya yakin bahawa suami tetap menyayangi saya sepenuh hati kerana hanya kami berdua saja tahu susah payah dari awal perkahwinan hingga dikurniakan anak dan mempunyai syarikat dan produk makanan serta minuman sendiri,” katanya.














