PETALING JAYA – Ibu kepada seorang wanita yang maut selepas disyaki didera suaminya sendiri dengan objek tumpul pada 23 Julai lalu mahu bertemu sendiri dengan lelaki itu untuk bertanyakan mengenai kejadian yang menimpa mangsa.
Adik mangsa dikenali Aziela Alias berkata, keluarganya juga masih menunggu maklum balas daripada pihak polis untuk tindakan seterusnya selepas dimaklumkan bahawa suspek sudah ditahan di Johor kelmarin.
“Keluarga memang ingin sangat jumpa dengan suspek, lebih-lebih lagi ibu saya. Dia mahu berdepan mata dengan suspek,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Tambah wanita itu, ibunya juga masih sukar untuk mempercayai kejadian berkenaan yang telah meragut nyawa Azween Noor Alias.
“Mak nak tanya, salah apa anak dia buat sampai diperlaku sebegitu sehingga meragut nyawa,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan mengenai tindakan seorang lelaki yang tergamak meninggalkan isterinya di sebuah hospital swasta di sini selepas disyaki memukul wanita itu sehingga mati sebelum bertindak melarikan diri dalam kejadian di Sungai Long, Kajang pada Sabtu lalu.
Lebih menyedihkan, suspek berusia 32 tahun itu turut meninggalkan dua anaknya yang berusia sembilan dan tiga tahun di rumah keluarganya sebelum ditemui anggota polis.
Hasil bedah siasat ke atas mangsa mendapati terdapat kesan kecederaan di seluruh badan dan punca kematian akibat dipukul objek tumpul sehingga mengakibatkan kecederaan dalaman yang serius.
Mengulas lanjut, Aziela memaklumkan, pihak keluarga akan memohon untuk berjumpa dengan dua orang anak mangsa yang ditinggalkan suspek sebelum melarikan diri.
“Permohonan itu kita akan buat dalam masa terdekat ini.
“Mak sangat berterima kasih dengan semua media yang membantu dalam mengesan suami kakak yang melarikan diri,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan suspek kes berkenaan telah ditahan di Johor selepas lapan hari melarikan diri dengan bersembunyi di satu kawasan di negeri berkenaan.
“Hasil risikan dilakukan, kami mendapat maklumat bahawa suspek berada di Johor sebelum serbuan dibuat bagi menahan lelaki itu.
“Susulan itu, kami telah menjalankan beberapa siri serbuan dalam tempoh tangkapan dibuat termasuk merampas barang dipercayai mempunyai kaitan dalam kes ini,” katanya pada sidang akhbar
Majlis Perbarisan Ulang Tahun ke-7 Polis Bantuan Sime Darby Property Berhad, di Padang Kawad Universiti Putra Malaysia di sini semalam.
Jelasnya, suspek yang ditahan akan direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati jika disabit kesalahan.
















