fbpx

Generasi muda wajar contohi integriti Tun Dr. Ismail – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (depan, tiga dari kiri) ketika pelancaran Majlis Memperingati Negarawan Tun Dr Ismail Al-Haj: Tonggak Perpaduan Negara sempena sambutan Bulan Kebangsaan di Dataran Merdeka di sini hari ini. Foto oleh FAUZI BAHARUDIN

KUALA LUMPUR – Ketegasan dan integriti dipamerkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman dalam memimpin negara wajar dicontohi generasi muda masa kini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dua sifat berkenaan perlu disemai dalam jiwa golongan muda berikutan mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab penting untuk negara.

“Aspek ini, daripada negarawan Tun Dr. Ismail yang perlu kita pelajari, termasuk integriti beliau dalam berpolitik.

“Penting untuk anak muda terpahat dengan prinsip yang sama untuk tangani kebejatan sosial, rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dengan tatakelola yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Memperingati Negarawan Tun Dr. Ismail Al-Haj – Tonggak Perpaduan Negara di Dataran Merdeka, di sini hari ini.

Pada masa sama, majlis tersebut merekodkan kehadiran lebih 10,000 pengunjung yang diserikan dengan pameran khas bagi memaparkan kronologi kehidupan tokoh ulung itu sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2023.

Sementara itu, Anwar berkata, prinsip yang dimiliki Dr. Ismail perlu disemai dalam masyarakat sekali gus boleh menyelamatkan negara.

“Negara akan selamat jika ada integriti, kerana apa, orang tahu kita tidak boleh dibeli, tidak makan pujuk rayu, wang dan harta,” ujarnya.

Kata Anwar, Dr. ismail juga sering membicarakan nasib soal masyarakat Melayu terutama yang miskin dan terpinggir meskipun bukan dibesarkan dalam keluarga susah.

“Ini menarik, kerana Dr. Ismail bukan daripada keluarga miskin. Beliau dianggap daripada keluarga aristokrat Melayu Johor.

“Maknanya, di kalangan orang yang dekat dengan istana, dan keras atasan tetapi itu tidak langsung dipamerkan bila dibicarakan soal dasar negara,” tambahnya.

Ketika hidup, Allahyarham Dr. Ismail mempunyai agenda yang unik untuk politik Malaysia dan bagaimana masyarakat Melayu, Cina dan India perlu memainkan peranan bagi membentuk sebuah negara yang cemerlang.

Antara ungkapan popular beliau adalah ‘jangan sapu ke bawah permaidini’ yang timbul berikutan permasalahan ekonomi orang Melayu yang sangat daif.

Bagaimanapun, secara tragis, perjalanan hidup Dr. Ismail terhenti dengan tiba-tiba apabila beliau kembali ke rahmatullah pada bulan Ogos 1973 sewaktu berkhidmat sebagai Pemangku Perdana Menteri.

Justeru, kepimpinannya yang berwawasan terus memberi inspirasi kepada pemimpin hari ini serta menggalakkan mereka mendokong nilai integriti, perpaduan dan khidmat yang mengutamakan negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI