fbpx

PRN: 52 tawaran PH-BN kepada rakyat Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin (dua kiri depan) bersama barisan pemimpin gabungan PH-BN serta calon pada majlis tersebut. - Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

SHAH ALAM – Sebanyak 52 tawaran merangkumi lima kerangka utama ditawarkan Pasukan Perpaduan Selangor kepada rakyat negeri ini sebagai manifesto mereka, malam ini.

Ini termasuk tawaran 100,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi, elaun RM1,500 kepada 2,000 pelajar latihan industri dalam anak syarikat kerajaan negeri, peningkatan elaun kepada imam dan bilal antara RM700 hingga RM1,600.

Turut diberikan perhatian adalah Insentif Wanita Kita Selangor dengan jumlah RM1,000 setahun kepada wanita bekerja bagi mengurangkan kos pengasuhan kanak-kanak.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelancaran tawaran tersebut adalah kesinambungan atau penerusan kepada kestabilan, kemakmuran dan kehidupan rakyat bahagia di Selangor.

Katanya, ia bukannya hanya janji populis sebaliknya dibincangkan dalam pelbagai peringkat pemimpin politik.

“Kita turut mendapatkan pandangan daripada pentadbiran kerajaan negeri khususnya aspek kewangan dan kebolehlaksanaan.

“Contohnya 200,000 rumah untuk dibina yang dirasakan tawaran sangat munasabah. (Sebelum ini) dengan lima tahun sahaja, kita telah meluluskan lebih 171,000 rumah dengan keadaan pandemik (Covid-19),” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad untuk Lima Tahun, malam tadi.

Menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor itu, pihaknya percaya dengan prestasi rekod kerajaan negeri lima tahun sebelum ini dapat menyakinkan pengundi untuk memilih semua calon gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN) pada 12 Ogos ini.

Amirudin memberitahu, sebahagian daripada tawaran itu telah dilaksanakan seperti perbandaran baru melibatkan Sepang, Sabak Bernam dan Kuala Selangor yang dinaungi dibawah tiga progam wilayah pembangunan negeri.

“Ia (tawaran) adalah hasil daripada pengalaman kita dan program jelajah yang telah kita laksanakan sebelum ini.

“Anggaran bagi keseluruhan tawaran itu masih dalam perkiraan dan sudah pasti kita yakin mampu mencapai dalam tempoh lima tahun dalam menyerap tekanan serta cabaran kita ada dengan rizab, aset-aset menerusi anak syarikat kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI