Berpeluang menonton konsert kumpulan asal England, Muse: Will Of The People World Tour 2023 di Stadium Bukit Jalil di ibu negara pada Sabtu lalu memberi seribu satu makna buat peminat band hebat tersebut.
Penulis sendiri tidak terkecuali menjadi antara lautan audiens yang hadir menyaksikan persembahan berdurasi dua jam yang dibanjiri kira-kira 53,000 orang di lokasi tempat persembahan berlangsung.
Muse yang dianggotai tiga otai lama bernama Matt Bellamy, Chris Wolstenholme dan Dominic Howard memberikan persembahan penuh bertenaga, berkuasa kuda dan penguasaan pentas tidak berbelah-bahagi biarpun masing-masing sudah sedikit berusia.
Bukan itu yang ingin dijadikan fokus penulisan kali ini, namun sengaja ingin mencuri perhatian pembaca tentang betapa ‘orang lama’ sangat menjaga tatatusila, menghomati budaya serta undang-undang negara.
Tidak perlu berlagak hero dan sengaja mencetuskan provokasi dan kemudian ‘cabut’ ke negara asal kononnya seperti anda sudah memperbetulkan sesuatu yang salah.
Ya, Matty Healy kita bercakap sikap anda yang singgah di negara ini pada minggu lalu.
Muse juga sempat bercuti di Langkawi bersama anak dan isteri masing-masing sama seperti orang lain.
Tiada layanan istimewa, mereka membeli coklat sebelum melunaskan persembahan di Bukit Jalil dengan penuh nuansa berstatus legenda.
“Tiada rokok di tangan, tiada muka ‘moody’ hanya kerana mereka berada di tanah yang digembar-gemburkan sebagai Negara Dunia Ketiga (Malaysia).
“Satu perkara yang kumpulan The 1975 tidak boleh lakukan,” demikian antara komen sinis yang ditinggalkan peminat dalam media sosial.
Perihal itu jelas membuktikan bahawa kita sebagai manusia, tidak sepatutnya ‘pukul rata’ kesilapan atau kesalahan yang dilakukan sesuatu kelompok manusia.
Janganlah disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga. Bukan semua orang putih atau mat salih itu seorang Ken atau Karen yang bobrok menyebabkan kita menggelengkan kepala.
Kendatipun, memetik kata-kata yang dilontarkan penyanyi dan pelakon jelita yang kini sedang hangat dengan filem Sumpahan Jerunei iaitu Daiyan Trisha, tidak usah datang ke Malaysia kalau ingin membuat onar.
“Memalukan dari setiap sudut. Tidak payah datang kalau hendak buat kacau.
“Masuk tempat orang hendak buat kepala (hal) sendiri. Tidak pasal-pasal orang lain semua terkena tempiasnya. Ramai pemain lokal dan banyak bisnes kecil terkesan disebabkan tindakan mereka (merujuk kepada Matty Healy dan The 1975),” kata Daiyan.
Apapun, contohilah Matt Bellamy dan rakan-rakan dalam Muse yang datang ke negara asing berseronok atas nama muzik. Ada masa bersendiri dengan yang tersayang, gunakan dengan sebaiknya tanpa membuat sebarang kebobrokan.
Muzik itu sepatutnya memberi ketenteraman jiwa hatta bunyi petikan gitar dan pukulan gendang kedengaran ‘keras’.
Itulah yang dilakukan Muse dan jauh sekali tercorot ke belakang cubaan yang kononnya berbaur heroik ingin dilunaskan Matty Healy.
















