fbpx

Mahkamah: Didenda RM50,000 kemuka dokumen palsu kepada Perkeso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang pengusaha kantin didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya.

Hakim Rozina Ayob menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Amir Shariffuddin Haron, 56, selepas tertuduh menukar kepada pengakuan bersalah pada pertuduhan pilihan ketika sebutan semula kes itu.

Ia berikutan pihak pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa Abd. Muntaqim Abdul Aziz memaklumkan pihaknya telah menerima representasi kedua yang dikemukakan tertuduh pada 30 Mei lalu.

“Setelah meneliti representasi kali kedua yang dikemukakan tertuduh, pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan dibawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan.,” kata Abd Muntaqim.

Bagaimanapun sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah itu, bapa seorang anak itu boleh dipenjara selama tiga bulan dan tertuduh membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan pilihan itu, Amir didakwa melalui seorang individu dengan curangnya telah menggunakan sebagai tulen suatu dokumen iaitu Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja (Hiring Incentive Program) atas nama perusahaan As Hayana Services bertarikh 5 Mac 2021 yang mana dia mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen tersebut adalah palsu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Wisma Perkeso, Jalan Tun Razak, di sini pada 5 Mac 2021 mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dibawah Seksyen 465 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu sebelum hukuman denda itu dijatuhkan peguam Zulkifli Awang yang mewakili tertuduh memohon hukuman berbentuk denda ringan atas alasan anak guamnya perlu menanggung ibu dan seorang anak yang masih belajar.

“Perniagaan anak guam juga tidak begitu memuaskan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu malah dia dibebani hutang berbanding keuntungan. Anak guam juga telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama di masa akan datang,” katanya.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang merupakan pemilik sebuah syarikat telah mengemukakan borang pengesahan pekerja bagi tuntutan insentif program Penjana yang mengandungi butiran matan palsu kepada pihak Perkesondan mengakui telah menerima RM45,900 daripada pertubuhan itu ke dalam akaunnya melalui enam transaksi berbeza.

Hasil siasatan mendapati kesemua sembilan nama pekerja syarikat yang dikemukakan di dalam borang tersebut tidak layak untuk menerima bayaran insentif selama enam bulan kerana tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Perkeso.

Pada 14 Julai tahun lalu, media melaporkan SPRM mereman 37 individu bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif Program Penjana Kerjaya melibatkan nilai keseluruhan kira-kira RM100 juta.

Kesemua individu yang terdiri daripada pemilik, pengarah, pengurus dan pemilik saham syarikat serta jurutera dan kakitangan eksekutif itu ditahan dalam Ops Hire yang dilancarkan di seluruh negara 13 Julai tahun lepas dengan kerjasama Perkeso. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI