fbpx

Teruja mahu mandi laut buat kali terakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABDUL Halim menunjukkan gambar anak lelakinya dalam telefon bimbit yang ditemui lemas di perairan Teluk Senangin, Segari pagi tadi selepas dilaporkan hilang semalam.

LUMUT – “Dia beria-ia hendak pergi (mandi laut), rupa-rupanya dia pergi sungguh (tidak kembali),” kata Abdul Halim Mohamed Ramli.

Abdul Halim, 44, adalah bapa kepada Mohammad Fariz Irfan, 10, yang ditemukan lemas pagi tadi selepas dilaporkan hilang ketika mandi di pantai Teluk Senangin,Segari, dekat sini, tengah hari semalam.

Menurutnya, anak ketiga daripada empat beradik itu begitu teruja mahu mandi laut dan ketika dalam perjalanan dari Ipoh ke Teluk Senangin pun kerap bertanya bila mahu sampai ke pantai tersebut.

Malah, katanya, sebaik tiba di Teluk Senangin, anak lelaki tunggalnya itu terus mahu pergi ke pantai tetapi dihalang oleh beliau dan menyuruhnya menjamah bekalan makanan yang dibawa terlebih dahulu.

“Saya paksa dia makan, saya beritahu kalau tidak mahu makan, tidak payah turun (ke laut).

“Dia makan sedikit sahaja dan nampak air matanya menitis macam sedih, selalu dia tidak macam itu,” beritahunya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Seri Manjung di sini hari ini.

Menurutnya, beliau jarang membawa keluarga berkelah dan kali terakhir membawa arwah mandi laut ialah di Teluk Batik, dekat sini, kira-kira tiga tahun lalu iaitu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Maklumnya, sebaik arwah bersama anak bongsunya berusia tujuh tahun dan anak keduanya berusia 19 pergi ke pantai, beliau pergi mencari lokasi sesuai untuk memancing.

Beliau menerangkan ketika itu tidak risau kerana arwah dan anak bongsunya dipantau anak keduanya yang dewasa manakala keadaan ombak adalah perlahan dalam suasana ‘air mati’.

Abdul Halim mula mengetahui anaknya hilang apabila isteri, Biduri Hamzah, 48, bertanya sama ada melihat kelibat arwah, sebelum mencarinya di seluruh kawasan Teluk Senangin sehingga pukul 2.30 petang dan apabila buntu, menelefon talian kecemasan 999 meminta bantuan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI