DI satu ruang yang agak luas, kedengaran bunyi kuat hentakan rantai kaki seperti seseorang sedang menari mengikut muzik rancak memecah suasana.
Cahaya samar-samar pada malam itu turut menyuluh dan melatari pentas tarian yang lazimnya digunakan bagi tarian klasik India atau Bharatanatyam.
Lazimnya tarian tersebut dipelopori kaum India tidak kira lelaki mahupun perempuan di negara ini.
Namun sedikit berbeza dengan apa yang dilihat apabila satu sosok gadis Melayu begitu asyik memberi sepenuh fokus terhadap gerak tarinya itu.
Malam yang penuh mendebarkan dengan disaksikan ratusan pasang mata itu bakal menyaksikan sama ada dia layak bergelar penari Bharatanaytam Arangetram ataupun tidak.
Berlangsung di Auditorium Shatanand, Temple of Fine Arts, Brickfields, Kuala Lumpur, tarikh 24 Jun lalu menjadi penentu buat Fatin Nadhirah Rahmat dalam kembara seni tari klasik Indianya.
Merupakan graduan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dengan meraih Sarjana Muda Tarian major tarian klasik India tiga tahun lalu, persembahan pada malam tersebut pula dianggap graduasi buatnya sebagai penari kerana dirinya akan dinilai sama ada berjaya menjadi penari debut solo tarian Bharatanatyam Arangetram atau sebaliknya.
Pada malam itu, dia merupakan satu-satunya wanita Melayu yang dinilai.
“Bharatanatyam Arangetram bukan satu tarian yang senang. Selepas lama belajar dan mengasah bakat dengan latihan, malam itu adalah penentuannya.
“Kami (pelajar) perlu membuat persembahan penuh di atas pentas buat kali pertama dan hanya pelajar yang dinilai sudah bersedia oleh guru boleh mempersembahkannya,” katanya kepada Aura.
Nadhirah, 27, bersyukur kerana telah melepasi fasa yang disifatkan antara yang paling getir dalam hidupnya dan berjaya bergelar sebagai penari Bharatanatyam Arangetram secara solo.
Media baru-baru ini melaporkan wanita itu dilihat sebagai bakat baharu yang akan menyinari pentas tarian India klasik.

Dilahirkan di Melaka dan dibesarkan di Pahang, Nadhirah mengakui, tarian bukanlah satu perkara asing bagi dirinya. Dia mula didedahkan dengan tarian sejak darjah satu di Sekolah Kebangsaan Teruntum, Kuantan.
“Kalau ikutkan rasa cinta saya terhadap tarian mula lahir dan disemai ketika saya mula melihat bapa menari dan ketika itu saya berusia lima tahun.
“Ketika masih kecil, saya sangat suka tengok ayah saya menari. Dia sangat aktif dalam tarian dan sering bawa saya ke acara-acara kesenian.
“Sejak dari itu, saya mula mengambil bahagian dalam program persembahan tarian di sekolah dan rasa cinta itu mula berputik dan mekar sampailah ke saat ini,” ujar Nadhirah.
Kongsinya lagi, bapanya sebelum ini merupakan penari tarian tradisional Melayu dan turut terlibat dalam teater sebelum dilantik sebagai pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara di Johor.
Imbaunya, ketika dia menyuarakan hasratnya untuk menyambung pengajian dalam bidang seni di Aswara, bapanya pada mulanya timbul keraguan.
Pun begitu, setelah menunjukkan semangat dan membuktikan dia begitu meminati dan mencintai dunia seni, barulah bapanya mengizinkan.
“Jadi, di Aswara saya mula kenal dan terpikat dengan Bharatanatyam selepas menonton persembahan pelajar senior ketika saya ikuti diploma tahun pertama. Saya suka tariannya yang sememangnya ada persamaan dengan tarian tradisional Melayu, namun dari aspek teknikal ia jauh lebih rumit.
“Dari situ, saya mula mempelajarinya daripada dua orang pensyarah, Yunus Ismail dan Norbaizura Abdul Ghani. Ketika itu umur saya baru 18 tahun,” ujarnya.
Nadhirah berkata, dia memerlukan lapan tahun secara total untuk benar-benar menguasai setiap pergerakan dan penghayatan tarian itu.
“Kepuasan didapati adalah apabila saya berjaya habiskan setiap gerak tari dengan betul mengikut kelajuan tempo dalam tarian tersebut. Selain itu, apabila saya dapat ingat setiap gerak dan teknik secara terperinci juga berikan saya satu kepuasan. Badan saya juga rasa cergas sentiasa selepas menarikan tarian itu.
“Bagi saya, jika penonton gembira dan dapat hayati penyampaian persembahan saya, itu dikira saya telah berjaya menyampaikannya sehabis baik,” katanya yang juga sudah tiga tahun berkhidmat sebagai seorang penari di ASK Dance Company.
Benar kata orang, dalam setiap apa perkara yang kita lakukan, pasti tidak terlepas daripada cabaran.
Begitu juga dengan Nadhirah, pada awal pembabitannya dalam tarian klasik India, pernah timbul konflik budaya yang mengatakan dia terlalu taksub dengan tarian berunsur Hinduisme itu.

Kata Nadhirah, dia mengakui perkara tersebut dan kerisauan itu juga pada awalnya berlaku dalam kalangan ahli keluarga terdekat.
“Ya memang tidak dapat dinafikan asal usul tarian Bharatanatyam memang banyak menceritakan mengenai kepercayaan Hindu.
“Tetapi selepas saya menerangkan bahawa ini hanyalah bentuk seni tari dan saya hanya nak menari kerana minat ditambah gerakan, busana dan solekan unik, mereka (keluarga) mula mula faham dan menerima.
“Bagi saya, ilmu itu sangat luas dari pelbagai aspek. Tidak salah untuk kenali pelbagai budaya yang terdapat di Malaysia mahupun di luar negara.
“Saya juga rasa, bagi mengekalkan keharmonian negara, kita perlu saling menghormati budaya satu sama lain.
“Saya dapat tahu serba sedikit tentang budaya lain tetapi ia tidak akan sesekali mengubah kepercayaan saya,” ungkapnya yang juga boleh menari tarian tradisional Melayu, Cina, kontemporari, moden dan hiphop selain minat mempelajari salsa dan tango.
Nadhirah turut membangkitkan permasalahan dalam kalangan penari antaranya isu kadar bayaran. Katanya, kadar bayaran atau upah kepada penari tidak setara dengan usaha, keringat dan pengorbanan lain mereka lakukan.
“Penari juga perlu pandai menjaga kesihatan tubuh badan kerana bekerja menggunakan tubuh.
“Jika mengalami sebarang kecederaan, kami tidak dapat lakukan apa-apa dengan lancar sekali gus mengganggu periuk nasi,” katanya yang juga pernah mempersembahkan pelbagai tarian tradisional di Convent Garden, London sempena Malaysia’s Week 2007 semasa usia kanak-kanak.














