fbpx

Undi anak muda jadi penentu kerajaan di 6 negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

BAHANG Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri pada 12 Ogos depan kian terasa terutamanya menjelang hari penamaan calon pada Sabtu ini.

Sebaik sahaja selesai hari penamaan calon, maka bermulalah tempoh berkempen selama 14 hari untuk semua parti politik yang bertanding di PRN Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Selangor.

Pastinya, golongan yang menjadi sasaran kempen pada PRN kali ini adalah pengundi muda yang berusia antara 18 hingga 39 tahun.

Golongan ini dikatakan bakal menjadi penentu kepada kemenangan parti dan calon yang bertanding pada PRN tersebut kerana ia merangkumi lebih 50 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, dijangka 4.9 juta pengundi muda berusia 18 hingga 39 tahun akan mengundi pada PRN di enam negeri nanti.

Secara keseluruhan, PRN kali ini membabitkan seramai 9.6 juta pengundi dengan 3,747,057 orang di Selangor, Kedah (1,585,085), Kelantan (1,411,912), Pulau Pinang (1,234,198), Terengganu (930,894) dan Negeri Sembilan (864,425).

Disebabkan itu, maka tidak hairanlah rata-rata parti politik yang bertanding menyasarkan golongan tersebut untuk berkempen meraih undi.

Salah satu usaha dilakukan adalah menganjurkan konvoi kenderaan terutamanya membabitkan motosikal bagi mendekatkan calon bertanding dengan golongan muda.

Malah, ada parti politik dan calon yang menggunakan platform media sosial seperti Facebook serta TikTok bagi mengetengahkan agenda pembaharuan dibawa sekiranya berjaya meraih kemenangan.

Tidak kurang juga pihak yang memilih untuk me­ngadakan sesi dialog di institusi pengajian tinggi (IPT) terutamanya universiti bagi mencari populariti dalam kalangan anak muda.

Bagaimanapun, penulis cukup tertarik dengan langkah parti-parti bertanding yang mengetengahkan calon baharu yang popular dalam kalangan orang muda.

Calon ini bukan saja terkenal dalam kalangan penyokong, malah mempunyai pengikut yang ramai dalam media sosial.

Misalnya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengetengahkan penyanyi rap terkenal, Altimet di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya (Selangor), manakala bekas pemain bola sepak kebangsaan, Baddrol

Bakhtiar disebut-sebut bakal menjadi pertaruhan Pas di salah satu DUN Kedah.

Pastinya, pilihan pengundi muda ini bakal mencorak masa depan politik dan pentadbiran di negeri-negeri terlibat untuk tempoh lima tahun mendatang.

Justeru, anak muda perlu bijak membuat pilihan di atas kertas undi. Paling penting, turun beramai-ramai untuk mengundi pada 12 Ogos ini demi tanggungjawab kita kepada tanah air.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI