fbpx

Tiga beradik didakwa atas empat pertuduhan merompak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis mengiringi Che Aliff Afendi (dua dari kiri) dan adiknya, Wan Ahmad Syakir Idaham (dua dari kanan) untuk didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini. -Foto ROSALWANI CHE SOH

KOTA BHARU – Tiga beradik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan melakukan rompakan bersenjata dalam empat kejadian berasingan sejak tiga bulan lalu.

Tertuduh, Che Aliff Afendi Mohd. Noor, 36, bersama adik-adiknya, Wan Mohamad Amirul Aizzat, 23, dan Wan Ahamad Syakir Idaham,19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas keempat-empat pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan pertama, Wan Mohamad Amirul Aizzat dituduh melakukan merompak wang sebanyak RM1,400 milik seorang wanita berusia 19 tahun di Kampung Kok Lanas di sini kira-kira pukul 8 pagi pada 24 April lalu.

Pertuduhan kedua, Che Aliff Afendi didakwa merompak dengan bersenjatakan sebilah kapak sehingga mendatangkan kerugian sebanyak RM159 terhadap seorang wanita berusia 40 tahun di sebuah kedai telefon di Jalan Kuala Krai Batu 11, Kadok di sini kira-kira pukul 1.35 tengah hari pada pada 14 Julai lalu.

Kedua-dua tertuduh itu didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, Wan Ahamad Syakir Idaham pula didakwa bersama-sama seorang yang masih bebas merompak dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 29 tahun kira-kira pukul 8.30 pagi hingga 9 pagi pada 15 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.

Mengikut pertuduhan keempat, Wan Ahamad Syakir Idaham dan Che Aliff Afendi didakwa bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan kapak terhadap dua mangsa berusia 20 dan 40 tahun di sebuah kedai telefon di Jalan Kuala Krai Batu 11, Kadok di sini kira-kira pukul 6.30 petang pada 17 Julai lalu.

Dua beradik itu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalna Zainal Abidin manakala tiga beradik itu tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Abu Arsalna tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh sebelum ketiga-tiga beradik itu memohon untuk melantik peguam.

Mahkamah tidak membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin selain menetapkan 24 Ogos depan untuk sebutan semula kes, serahan dokumen dan lantikan peguam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, perbuatan tiga beradik lelaki yang menyamun kedak telefon bimbit di daerah ini baru-baru ini dengan menggunakan senjata kapak memakan diri apabila mereka diberkas polis.

Ketiga-tiga beradik itu dicekup ketika berada di Kampung Sri Kulim, Melor di sini pada pukul 8.15 malam pada 17 Julai lalu.

Modus operandi suspek adalah sama iaitu mereka masuk ke dalam premis dengan bersenjatakan sebilah kapak dan pisau lalu mengacukan ke arah pekerja kedai sebelum mengambil wang tunai dan telefon bimbit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI