fbpx

Populariti Barbie bakal lonjakkan sisa plastik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FILEM Barbie yang ditayangkan di pawagam seluruh dunia ketika ini bakal melonjakkan permintaan terhadap anak patung watak berkenaan.

SELURUH dunia kini sedang bercakap tentang filem Barbie, sekali gus menjadikan jenama patung plastik kesukaan kanak-kanak itu kembali melonjak.

Dalam keterujaan orang ramai mendapatkan patung Barbie kerana mengikut trend semasa, tanpa disedari jumlah sisa plastik turut meningkat pada kadar mengejutkan.

Menurut Felo Industri Kanan di Universiti RMIT, Melbourne, Australia, Alan Pears, apabila filem Barbie keluar minggu pada minggu lalu, ia pasti akan mencetuskan gelombang pembelian anak patung itu yang kini telah dijual melebihi 60 juta setiap tahun.

“Berdasarkan laporan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) pada 2014, mainan adalah barangan pengguna yang paling intensif plastik di dunia dan tidak semuanya boleh dikitar semula.

“Mainan plastik diperbuat daripada campuran kompleks plastik, logam dan elektronik.

“Apabila kanak-kanak bosan, mainan ini sering berakhir di tapak pelupusan sampah,” katanya dalam satu laporan berita antarabangsa.

Sebelum perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, separuh daripada mainan dunia telah dihasilkan di Dongguan, sebuah bandar di negara Tembok Besar.

Ia termasuk satu daripada tiga anak patung Barbie.

Penyelidik AS pada tahun lepas mengukur kos setiap anak patung untuk iklim.

Setiap anak patung 182 gram (g) menyebabkan kira-kira 660 g pelepasan karbon, termasuk pengeluaran plastik, pembuatan dan pengangkutan.

Para penyelidik menganalisis tujuh jenis mainan lain, termasuk set Lego dan Jenga.

“Mengikut pengiraan saya, pelepasan secara purata merentas semua jenis mainan itu adalah kira-kira 4.5 kilogram (kg).

KEBANYAKAN anak patung plastik akan berakhir di tapak pelupusan sampah.

“Pada tahap ini ia agak besar. Di AS, dianggarkan pelepasan daripada industri plastik akan mengatasi pengeluaran arang batu dalam tempoh tujuh tahun.

“Jadi persoalannya, bagaimana kita boleh mengurangkan pelepasan tersebut kepada sifar secepat mungkin?

“Ini bagi memastikan generasi kini mempunyai iklim yang boleh didiami tanpa mengubah norma hidup,” kata Pears.

Sehingga kini, terdapat sedikit tumpuan untuk menjadikan industri mainan lebih mampan.

Jelas Pears, pengeluar mainan harus menggunakan bahan berkarbon rendah dan memberi tumpuan kepada mainan mudah dikitar semula.

Mainan perlulah seringan mungkin, untuk meminimumkan pelepasan karbon industri plastik.

Sementara itu, mainan berkuasa bateri harus dielakkan kerana ia boleh menggandakan kesan iklim dan mengubah sisa plastik menjadi masalah sisa elektronik.

“Usaha mengurangkan sisa buangan setakat ini telah dilaksanakan oleh pembuat mainan dengan mengurangkan plastik dalam bungkusan mereka.

“Ini memandangkan pembungkusan serta-merta akan menjadi sisa.

“Sebagai langkah yang dialu-alukan, pembuat Barbie, Mattel melancarkan skim kitar semula mereka pada 2021.

“Ini membolehkan pembeli menghantar semula mainan lama untuk ditukar kepada baharu,” ujarnya.

Pembuat mainan boleh membantu pada peringkat reka bentuk dengan memilih bahan buatan secara lebih berhati-hati.

Kerajaan juga boleh menggalakkan usaha itu dengan mengenakan hukuman terhadap pembuat yang menggunakan bahan plastik murah dan berimpak tinggi kepada alam sekitar.

“Kita boleh lihat kepada larangan Eropah dan AS terhadap plastik yang mengandungi Bisphenol A (BPA) dalam pembuatan botol susu bayi.

“Kerajaan juga boleh menyediakan sistem pemulihan dan kitar semula berkesan yang mampu mengendalikan sisa mainan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI