fbpx

Jangan bunuh semangat saya untuk berkarya – Awie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Awie pertama kali duduk di bangku pengarah menerusi filem Rebel.

PETALING JAYA – Tak ubah seperti nelayan berperahu kecil berpukat jala, namun manakan sama kapal besar berpukat hanyut di lautan.

Begitulah situasi dilalui penyanyi rock yang kini bergelar pengarah, Datuk Awie apabila ada penonton membandingkan naskhah sulung arahannya, Rebel: Berontak Untuk Berotak dengan filem terbitan syarikat produksi gergasi dan berbajet berlipat kali ganda.

Awie yang juga vokalis kumpulan Wings berkata, tidak adil untuk membandingkan filemnya itu dengan naskhah yang kos pembikinannya berbajet mewah.

“Saya tak faham kenapa orang nak bandingkan Rebel dengan filem lain?

“Dari segi genre, jalan cerita dan bajet pun filem Rebel sangat berbeza dengan filem lain. Rebel bukanlah filem bergenre aksi berat yang menelan belanja besar.

“Jadi, jangan bunuh semangat saya untuk terus berkarya, memandangkan ini adalah filem pertama sentuhan saya selaku pengarah.

“Saya sudah hasilkan yang terbaik mengikut kemampuan dengan kekangan bajet sedia ada,” katanya.

Mengulas mengenai bajet, kata Awie, dia mengarahkan filem Rebel mengikut kapasiti dan peruntukan bajet disediakan produksi.

“Bajet filem Rebel sederhana berbanding filem lain yang memperuntukkan bajet berganda lebih besar.

“Saya mengarah filem ini mengikut peruntukan bajet, bukannya syok sendiri dan itulah hasilnya. Takkan saya nak buat dengan terlebih bajet pula?

“Kalau dapat bajet lebih besar, mungkin macam-macam benda saya boleh buat,” katanya.

Bagaimanapun, kata Awie, dia tidak akan patah semangat untuk terus berkarya walau apapun maklum balas diterima daripada penonton mengenai filem Rebel.

“Saya akan terus mengarah walaupun kutipan filem Rebel dilaporkan sederhana kerana itu adalah asam garam dalam pembikinan filem.

“Maklumlah, saya sendiri sudah berlakon berpuluh filem dan ada filem lakonan berjaya dan sebaliknya. Itu adalah perkara biasa dalam pembikinan filem.

“Saya sudah rancang sesuatu untuk mengarah filem dengan syarikat sendiri pada masa akan datang,” katanya.

Filem bergenre aksi itu diterbitkan Wau Productions Sdn. Bhd. dan Rumah Produksi Merah Sdn. Bhd. dengan menampilkan Ben Amir dan MK K-Clique selaku teraju utama selain turut dibintangi Shiqin Kamal, Noralbaniah, Azlan Komeng dan Awie sendiri.

Rebel: Berontak Untuk Berotak menemui penonton pawagam di seluruh negara sejak 2 Mei lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI