fbpx

Mahkamah: Hakim dedah pernah berkhidmat di firma yang sama dengan Jasmine Loo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib.

KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Collin Lawrence Sequerah mendedahkan beliau pernah berkhidmat di bawah firma guaman yang sama dengan bekas peguam 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang pernah menjadi buruan, Jasmine Loo Ai Swan.

Hakim itu berkata, beliau dan Jasmine berkhidmat di firma guaman Zain & Co antara 10 dan 15 tahun lalu.

“Individu itu (Jasmine) pernah berkhidmat bersama secara rasmi. Saya fikir perlu membuat pendedahan ini. Ini ketika saya sebagai peguam kira-kira 10 hingga 15 tahun (yang lalu),” kata Hakim itu yang kini Hakim Mahkamah Rayuan.

Semasa prosiding, Hakim itu membuat pendedahan tersebut ketika perbicaraan rasuah RM2.3 bilion 1MDB terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ia apabila peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib bertanya kepada pasukan pendakwaan sama ada Jasmine akan dipanggil atau tidak kerana wanita itu akan menjadi saksi kedua yang sangat relevan selepas ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Mendengar pertanyaan itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan mahkamah, beliau hanya boleh mengesahkan bahawa Jasmine masih dalam tahanan polis dan buat masa ini pihak pendakwaan di Jabatan Peguam Negara (AGC) belum menerima sebarang butiran mengenai siasatan yang sedang dijalankan.

“Dia (Jasmine) masih dalam siasatan. Saya pasti kenyataan sudah direkodkan, buat masa ini kami (di) AGC belum menerima sebarang hasil siasatan atau kenyataan daripadanya lagi. Oleh itu, saya tidak boleh membuat keputusan sekarang sama ada kita akan memanggilnya atau tidak (sebagai saksi),” katanya.

Jasmine merupakan individu yang dikatakan antara sekutu rapat Jho Low yang terbabit dalam skandal kewangan 1MDB, dan disenaraikan sebagai orang dikehendaki.

Wanita itu ditahan pada 7 Julai lalu sebelum direman keesokannya dan disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.

Bloomberg sebelum ini melaporkan, penyiasat Switzerland yang menjalankan siasatan jenayah berhubung skandal 1MDB, memburu pengarah eksekutif Casey Tang dan Jasmine berkaitan pemindahan AS$700 juta yang didakwa dilakukan secara haram.

Terdahulu, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz hadir dan dijangka dan memberi kenyataan sebagai saksi pendakwaan.

Zeti, 75, hadir pada pukul 1.55 petang dan sejurus tiba di mahkamah, beliau kemudian terus menaiki lif ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun hari ini Zeti tidak memberi keterangan kerana soal balas Shafee terhadap saksi pendakwaan ke-44, bekas Ketua Perkhidmatan Pengurusan Dana Bank BSI (Singapura) Kevin Michael Swampillai masih belum selesai.

Dalam prosiding terdahulu pihak pendakwaan menyatakan pernyataan saksi sudah tersedia dan Zeti akan membacanya dalam prosiding itu.

Isu memanggil Zeti untuk memberi keterangan timbul selepas peguam utama bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bertanyakan satu soalan kepada saksi ke-39 pendakwaan, bekas Pengarah Bukan Eksekutif AmBank Cheah Tek Kuang, 75, mengenai kehadiran Jho Low di kediaman Zeti.

Najib, 70, berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI