fbpx

Mahkamah: Enam buruh didakwa bunuh kontraktor binaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Enam buruh warga Indonesia ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam.

SHAH ALAM – Enam sekawan termasuk remaja dihadapkan di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegara mereka yang merupakan seorang kontraktor binaan, awal julai ini.

Kesemua lelaki warga Indonesia berkenaan iaitu Mohamad Sawi,19; Marco, 24; Ahmad, 32; Marhadi, 35; Pusidin, 42 dan Mohammad, 46 mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistet Mohamad Reza Azhar Rezali.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada keenam-enam tertuduh yang bekerja sebagai buruh binaan.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka bersama seorang lagi masih bebas didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Dul Safik dalam bilik sebuah premis di Jalan Bukit Kemuning Batu 8 di sini pada pukul 10 malam, 2 Julai lalu.

Sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dihukum mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam Muhammad Hidhir Mustapa.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 September depan.

Kosmo! pada 5 Julai lalu melaporkan bau busuk daripada but sebuah kereta yang ditinggalkan di tepi jalan membongkar penemuan mayat seorang kontraktor binaan yang hampir reput dipercayai dibunuh angkara cemburu di Taman Sri Orkid Seksyen 30, di sini.

Mayat lelaki warga Indonesia berusia 47 tahun itu dijumpai kira-kira pukul 3.25 petang selepas polis menerima panggilan daripada orang awam yang melalui lokasi tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI