fbpx

Al-Hilal sedia cabar hasrat Real Madrid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MBAPPE enggan kekal bersama PSG dan kelab itu sedia melepaskannya dengan tanda harga yang diletakkan. - AFP

PARIS – Masa depan penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe di kelab itu bagai ‘telur di hujung tanduk’ apabila diketepikan daripada skuad yang melakukan jelajah premusim ke Jepun.

Pengurusan PSG menerima tamparan hebat apabila pemain antarabangsa Perancis itu tidak berhasrat untuk menandatangani kontrak baharu dan mahu meninggalkan Parc des Princes secara percuma musim depan.

Bagaimanapun, PSG tidak sanggup untuk memenuhi hasrat Mbappe itu memandangkan mereka mengeluarkan belanja cukup besar ketika membayar £170 juta (RM996.81 juta) kepada AS Monaco bagi mendapatkan khidmatnya pada 2017.

Justeru, juara Liga Perancis itu sedia melepaskan Mbappe kepada mana-mana pasukan yang sanggup berbelanja besar biarpun ada laporan mengatakan Mbappe hanya menunggu panggilan Real Madrid.

Kelab Liga Pro Saudi, Al-Hilal sedia untuk melakukan kerja ‘gila’ apabila mereka mahu menawarkan lebih £173 juta (RM1.01 bilion) dan PSG dikatakan tidak ada sebarang masalah untuk menerimanya.

Al-Hilal menjadikan Mbappe sebagai sasaran utama selepas mereka berjaya membawa masuk beberapa nama besar termasuk Ruben Neves, Sergej Milinkovic Savic dan Kalidou Koulibaly selain pernah memancing Romelu Lukaku dan Lionel Messi.

Selain kelab Arab Saudi itu, juara Eropah, Chelsea juga disebut-sebut berminat untuk mendapatkan Mbappe, namun mereka mahu mendapatkan kepastian sama ada dia bersedia ataupun tidak berhijrah ke Stamford Bridge.

Walaupun PSG sedia mendengar mana-mana tawaran daripada pasukan berminat, namun Mbappe dikatakan tetap dengan pendirian untuk menunggu peluang menyertai Real Madrid secara percuma musim depan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI