KEKUATAN watak Barkoba yang cukup dekat di hati penonton memberi impak besar terhadap kembara seni Bell Ngasri apabila diangkat sebagai Bintang Paling Popular selepas hampir empat dekad dalam industri seni.
Tidak mengharapkan gelaran bintang apatah lagi paling popular, hakikatnya rezeki Bell Ngasri mengungguli Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABP35) selepas 37 tahun menabur bakti sebagai anak seni satu fenomena baharu.
Secara tidak langsung membuktikan selebriti senior masih berbisa, hanya menunggu masa tepat untuk bersinar seterusnya menjadi pilihan rakyat Malaysia.
Figura yang terkenal dengan watak Barkoba itu pernah melafazkan tidak perlukan populariti, apatah lagi dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular, namun tanggapannya kini berubah.
Katanya, anugerah hasil undian ramai itu adalah mandat, selain isyarat kepada rakan seperjuangan sebaya atau lebih senior untuk terus percaya detik kegemilangan mereka juga bakal tiba.
“Apa yang saya raih hari ini mungkin satu permulaan buat rakan seangkatan bangkit meneruskan impian.
“Saya harap sangat semua ini jadi pencetus semangat kepada mereka agar tidak mudah menyerah dan putus asa” katanya.
Letak Harga
Berbicara lanjut pengiktirafan yang diterimanya, pemilik nama sebenar Nasrizal Ngasri itu menegaskan dia tetap individu sama yang meletakkan amanah sebagai prioriti.

Malah, dia yang sebak ketika menjulang trofi kemenangan berharap tiada penerbit mahupun pengarah berasa takut untuk menyuntingnya beraksi dalam karya mereka.
“Ada orang sudah tanya harga dan tawarkan saya watak utama. Saya cakap jangan paksa diri untuk jadikan saya hero. Jadi, tak perlu kata saya akan naik harga.
“Saya masih Bell yang sama. Datang sendiri ke lokasi penggambaran, semua saya buat sendiri tanpa pengurus. Mungkin orang takut untuk mohon jadi pengurus sebab saya orang lama.
“Tadi pun (malam kelmarin) saya main cakap sahaja ketika berucap sebab tiada teks ucapan pun sampai orang panggil saya YB Bell.
Kalau ada yang tersinggung saya minta maaf,” ujarnya.
Anugerah untuk mama
Meletakkan ibu tercinta, Habibah sebagai insan paling penting dalam hidupnya, Bell bersyukur dapat membahagiakan wanita yang bertanggungjawab membawanya masuk ke dalam industri lakonan.
“Inilah hadiah atas pengorbanan mama yang tak pernah jemu bagi jalan, beri semangat hinggakan dia pernah cakap ‘kau tak payah kerja lain, berlakon saja’.

“Sejak saya usia enam tahun, mama bawa saya serta adik-adik naik bas mini dan bagi susu dalam bas.
Seorang lagi insan penting adalah Allahyarham Mamat Khalid yang cipta watak Barkoba untuk saya,” kongsinya lagi.
Mahu watak serius
Pemegang trofi Aktor Pembantu Terbaik Anugerah Skrin (ASK) 1998 menerusi telefilem Pa’e itu juga berharap diberi peluang menggalas semula peranan serius dalam naskhah akan datang.
Begitupun, itu terserah kepada rumah produksi, sebagai pelakon dia sedia menyahut cabaran untuk kembali mempelbagaikan karakter.
“Saya memang mahu bawakan watak serius sebab ada orang nak tengok tetapi terpulang kepada penerbit dan pengarah.
“Adik saya yang ada syarikat produksi pun tak panggil, isteri saya selaku penulis skrip drama Hati Kita pun ajak Alif Aziz jadi hero, tak pelawa pun saya berlakon,” selorohnya.
Dihina ketot
Dalam rancak bercerita, Bell turut mendedahkan pernah dimalukan seorang pengarah yang menghinanya tidak layak bergelar pelakon kerana bertubuh pendek.
Tegasnya, ayat kasar dilontarkan figura terkenal itu bagaimanapun tidak melunturkan semangatnya untuk terus mengasah bakat tanpa rasa rendah diri.

“Banyak pengalaman suka duka saya lalui sepanjang 37 tahun menjadi artis. Pernah ada pengarah terkenal cakap ‘macam ni ke jadi artis, badan ketot macam kau ni?’
“Demi Allah, ini memang betul terjadi dan pengarah yang berkata begitu kepada saya ada dalam panggung tadi.
“Kalau awak yang kena macam mana? Sudah tentu hinaan itu akan melunturkan semangat.
“Alhamdulillah, trofi ini jadi bukti untuk mereka yang pernah buat begitu kepada saya,” katanya lagi pada sidang media Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABP35) di Istana Budaya, kelmarin.
Menutup bicara, dia yang berkali-kali menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mengundinya bersyukur apabila dihadiahkan pakej umrah kerana memang nazarnya sekiranya menang adalah mahu mengerjakan ibadah itu.














