fbpx

Lelaki ganggu jurugambar ditahan di wad Neurologi HKL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Lelaki yang didakwa mengganggu jurugambar wanita seperti yang tular sebelum ini ditahan di wad di bawah Jabatan Neurologi Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya , Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihak polis akan mendapatkan laporan penuh perubatan daripada pihak hospital dan kertas siasatan akan dilengkapkan untuk dimajukan kepada Timbalan Pendakwaraya Negeri untuk mendapatkan nasihat dan arahan lanjut.

Katanya, pihak polis telah menerima laporan daripada pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) pada 20 Julai berkaitan pemilik akaun Instagram yang dikatakan telah mengganggu jurugambar wanita sebagaimana yang tular di media sosial ketika ini.

“Hasil daripada siasatan lanjut pihak polis mendapati, lelaki warga tempatan berusia 37 tahun yang menetap di Shah Alam itu sering menggunakan akaun Instagram dan Twitter untuk berhubung dengan pengadu dengan memberikan komen-komen cinta dan menghantar pesanan berbentuk lucah sehingga menyebabkan ketidakselesaan kepada pengadu.

“Berdasarkan maklumat yang yang diperolehi, pihak polis mengambil tindakan membuat permohonan kepada SKMM untuk menyekat akaun-akaun miliknya yang terlibat untuk menghentikan perbuatan dan perlakuan lelaki itu terhadap pengadu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah kenyataan itu katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan menyebarkan apa-apa juga bahan di mana-mana platform bagi mengelakkan sebarang spekulasi sehingga menjejaskan siasatan pihak polis.

Terdahulu, Kosmo! Online sebelum ini melaporkan seorang jurugambar mendedahkan diganggu hampir lapan tahun oleh seorang lelaki dengan mesej-mesej berbaur lucah.

Menurut wanita berkenaan, lelaki itu juga pernah mengekorinya sehingga ke United Kingdom dan turut ditahan oleh pihak berkuasa sebelum dibebaskan sementara menunggu tarikh mahkamah.

Bagaimanapun, lelaki tersebut bertindak melarikan diri dari negara itu dan terlepas tarikh mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI