fbpx
NUR ZAHIRAH yang merupakan wakil Malaysia dalam Entreprenuership World Cup 2020 mengetengahkan pembelajaran yang kreatif dan inovatif dalam pengajian al-Quran.

‘Saya juga pernah tinggalkan al-Quran’- CEO iLuvQuran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“ARWAH Tok Wan (datuk) saya merupakan seorang ustaz yang terkenal dan pernah mendapat anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Pulau Pinang.

“Beliau juga pernah mengemudi sekolah agama di Pulau Pinang dan menjadi Pengerusi Persatuan Guru-Guru Agama Seberang Perai (PGAS) suatu ketika dahulu. Pun begitu, tiada satu orang pun anak cucunya yang mengikut jejak langkah Tok Wan dalam bidang agama (bergelar ustaz, ustazah atau sebagainya).”

Demikian ungkap Nur Zahirah M. Sukran, 42, tatkala mengimbas latar belakang pendidikan agama dalam salasilah keturunannya sekali gus mendorongnya menceburi bidang agama dan menubuhkan sebuah pusat pembelajaran al-Quran sedekad lalu.

Menurut wanita kelahiran Chow Kit, Kuala Lumpur itu, biarpun kedua-dua ibu bapanya tidak menceburi bidang agama, mereka memberikannya didikan agama dan al-Quran sejak berusia enam tahun.

“Emak sangat pentingkan pendidikan al-Quran saya. Dari kecil, sejak umur enam tahun, emak cuba hantar saya ke kelas mengaji.

“Waktu itu, kami tinggal di Amerika Syarikat kerana ibu saya belajar di Idaho. Jadi, emak menyuruh saya ke rumah kakak-kakak dari Malaysia yang menuntut di sana untuk belajar mengaji Muqaddam.

“Tapi banyak kali pengajian tergendala kerana emak tidak berkenan dengan guru yang gunakan rotan, kaedah hukuman yang menakutkan, sedangkan kebanyakan guru al-Quran pada ketika itu menggunakan teknik sebegitu,” katanya kepada Aura.

Masih segar dalam ingatan Nur Zahirah apabila ibu akhirnya telah memintanya belajar dengan seorang ustaz yang membantunya untuk khatam al-Quran pada usia lapan tahun.

Katanya, arwah ustaz ini tidak garang atau menggunakan kekasaran, namun sangat tegas ketika mengajar hingga pernah membuatkannya menangis sampai terkeluar hingus.

“Walaupun saya khatam begitu awal, saya tidak lagi membaca al-Quran kecuali kerana disuruh,” katanya.

Nur Zahirah mengakui, dia bukanlah seorang manusia yang sempurna kerana banyak meninggalkan al-Quran selepas khatam hingga berumur 15 tahun.

Bagaimanapun, apabila pulang ke kampung, Tok Wan banyak berkongsi fadilat surah dan menggalakkannya terus membaca al-Quran dan berzikir.

“Daripada arwah Tok Wan jugalah saya mendengar storytelling kisah-kisah tafsir. Kadangkala waktu pulang ke kampung, Tok Wan akan memanggil kami cucu-cucunya untuk dia bercerita menggunakan cara kreatifnya yang tersendiri,” ujarnya.

Jelas Nur Zahirah lagi, apabila dia berumur 18 tahun, dia telah melahirkan satu tekad.

“Saya bertekad jika Allah kurniakan saya rezeki untuk masuk universiti di luar negara, saya akan membaca terjemahan al-Quran sepenuhnya.

“Dari situ, apabila saya mendapat tawaran belajar ke Amerika Syarikat dalam jurusan komunikasi (penulisan), saya membaca terjemahan al-Quran Abdullah Yusuf Ali yang dibeli di Jalan Tuanku Abdul Rahman sedikit demi sedikit hingga selesai dalam masa tidak sampai tiga tahun,” katanya sekali gus hal itu menambah kecintaan dan kedekatannya kepada al-Quran.

Akuinya lagi, dia tidak pernah berniat untuk berkecimpung sepenuh masa dalam bidang al-Quran, namun begitulah perancangan Allah dan percaya ada sebab kenapa Allah melorongkannya ke situ.

Menyorot kembali bagaimana dia dan suami terlintas untuk mengasaskan pusat pembelajaran al-Quran dikenali sebagai iLuvQuran sejak penghujung 2013, baginya, semuanya telah tertulis.

Jelasnya, dia dan suaminya, Faiz Sahri ketika itu bercita-cita membina generasi anak-anak yang mempunyai keyakinan tinggi, berfikiran kritis dan kreatif bertunjangkan pendidikan al-Quran.

NUR ZAHIRAH membimbing pembelajaran al-Quran menerusi penceritaan.

Ujarnya, ia berlaku sejurus pulang daripada merantau menimba ilmu pengajian sarjana di University College Dublin, Ireland yang mana Nur Zahirah mengikuti jurusan pentadbiran perniagaan (MBA).

“Usai pulang dari sana, kami sebenarnya mahu mencari pusat al-Quran dan tahfiz yang sesuai untuk psikologi anak-anak kami di alaf 21 dan teknik pembelajaran kreatif dan inovatif.

“Pun begitu, kami berdua tidak jumpa, jadi selepas tiga bulan di tanah air, kami berdua nekad mengasaskan sendiri pusat al-Quran dikenali sebagai iLuvQuran,” ujarnya.

Satu pengorbanan yang besar sebenarnya telah diambil Nur Zahirah selaku ketua pegawai eksekutif dan pengasas bersama syarikat apabila dia terpaksa meninggalkan kerjayanya dalam bidang korporat di Petronas ketika itu.

“Dengan kesibukan ibu bapa tetapi mengimpikan anak-anak yang belajar dan hafal al-Quran, maka lahirlah iLuvQuran untuk mengisi keinginan murni itu.

“Pun begitu sejak 2020 dan ketika negara mula dibadai pandemik, kami tekad untuk membangunkan platform online iluvquran.com dan juga mula melaksanakan kelas-kelas al-Quran secara online agar anak-anak dan masyarakat tidak terputus pembelajaran meskipun tidak dapat belajar secara fizikal.

“Dari situ, alhamdulillah iLuvQuran banyak mendapat bantuan dan sokongan daripada beberapa badan kerajaan termasuk Unit Peraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan menjadi syarikat pemula yang disokong oleh Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI),” katanya.

Ditanya kelebihan dan keunikan yang cuba ditawarkan, Nur Zahirah berkata, iLuvQuran menekankan konsep pembelajaran al-Quran berteraskan tafsir dan tiada tempat lain di dunia yang menawarkan sedemikian.

Jadi katanya, syarikat telah mengambil langkah sendiri untuk mendedahkan anak-anak kepada tafsir dan pembelajaran dari al-Quran seawal umur dua tahun dengan teknik storytelling (penceritaan menarik).

“Kami juga satu-satunya pusat al-Quran yang menggabungkan STEAM (sains, teknologi, kejuruteraan, seni dan matematik) dalam pembelajaran anak-anak.

“Menariknya, kami juga gabungkan teknik Nabi Muhammad mengajar menggunakan cinta dan aktiviti sesuai dengan umur anak. Ini adalah asas utama teknik yang kami gunakan di iLuvQuran,” katanya yang kini mempunyai tujuh buah cawangan kelas fizikal di seluruh Malaysia.

Ditebak mengenai cabaran membahagikan masa antara kerjaya, ibu dan isteri, Nur Zahirah bersyukur dan beruntung kerana anak-anaknya semakin besar dan banyak tugas dibahagikan bersama dalam keluarga.

“Suami juga seorang yang sangat supportive dan tidak berkira untuk mengikut sunnah nabi iaitu membantu isteri di rumah.

“Setiap malam kami pasti akan makan malam bersama dan setiap ahli keluarga wajib ceritakan tentang hari mereka. Hujung minggu dalam celah kesibukan, kami cuba cari masa untuk mendaki, ke taman, beraktiviti bersama anak- anak atau melawat ibu ayah kami sendiri,” katanya yang berharap untuk memasuki 30 peratus pasaran Muslim di Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom dan Australia selain mempunyai 10 ke 20 cawangan iLuvQuran di Amerika Utara menjelang lima ke 10 tahun lagi.

Ditanya apakah erti hijrah sempena sambutan Maal Hijrah kelmarin, Nur Zahirah menyifatkan hijrah yang sebenar adalah hijrah yang menambah kedekatan kita kepada Allah SWT.

“Seandainya kita ingin menjadi hamba Allah yang terbaik, tentulah kita sentiasa perlu hijrah dari hari ke hari untuk sentiasa semakin baik dan meninggalkan perkara tidak disukaiNya.

“Antara hijrah awal saya adalah hijrah memakai tudung pada umur remaja. Saya bersekolah semua perempuan dan teruja untuk bergaya, namun emak menasihatkan saya agar bertudung. Saya akur dan terus istiqamah walaupun agak sukar buat jiwa remaja yang sedikit memberontak ketika itu,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN