KUANTAN – Golongan doktor muda di negeri ini didapati memilih untuk berkhidmat di bandar besar berbanding pedalaman dengan menjadikan klinik kesihatan sebagai pilihan utama.
Mendedahkan perkara itu, Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, berdasarkan rayuan yang diterima, rata-rata mereka memilih untuk bertugas di bandar raya Kuantan berbanding daerah-daerah lain di negeri ini.
Selain Kuantan, kumpulan doktor muda itu juga mahu ditempatkan di klinik kesihatan berbanding berkhidmat di Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini yang memerlukan lebih ramai pegawai perubatan.
“Sudah tentu sekali rayuan datang (disertai) dengan pelbagai alasan antaranya anak masih kecil dan lain-lain.
“Tetapi pernah tak doktor muda bayangkan jika ramai (pegawai) hendak berpusat di Kuantan, siapa yang akan bekerja di Lipis, Raub dan Jerantut?
“Takkan hendak membiarkan dua tiga kerat doktor muda bekerja di pedalaman. Kasihan mereka bukan selamanya mahu kekal (bertugas) di pedalaman, mereka juga mahu keluar (dari pedalaman),” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Nor Azimi memberitahu, beliau memahami rayuan yang dibuat oleh doktor muda dan ia perlu diperhalusi dengan melihat keperluan perkhidmatan di seluruh Pahang bukannya daerah tertentu sahaja.
Justeru, beliau berharap doktor muda yang ditempatkan di negeri ini memahami situasi tersebut memandangkan Pahang merupakan sebuah negeri besar dan mempunyai banyak kawasan pedalaman.
“Bekerja di pedalaman bukanlah seteruk mana dan doktor-doktor muda seharusnya bersedia berkhidmat di mana juga mereka ditempatkan.
“Kita perlu bersikap positif, tanam niat bekerja untuk mencari pengalaman, menimba pengetahuan dan kemahiran di kawasan pedalaman.
“Percayalah pengalaman ini yang akan mematangkan doktor muda baik pengetahuan mahupun kemahiran,” katanya.
Sementara itu, di Kota Bharu, Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr. Zaini Hussin memberitahu, penempatan pegawai perubatan adalah tertakluk kepada kekosongan jawatan dan kepentingan perkhidmatan di satu-satu kawasan.
“Pemilihan penempatan itu biasanya dibuat sendiri oleh pegawai perubatan semasa menerima tawaran tetap secara online. Bagaimanapun masih ada segelintir pegawai yang mengemukakan rayuan memilih untuk tidak mahu ditempatkan di kawasan pedalaman.
“Namun, peratusannya (rayuan) sedikit iaitu di bawah 10 peratus. Malah, permohonan dan rayuan itu sudah ada sejak dulu lagi yang mana pegawai boleh mengemukakan rayuan memilih tempat bertugas termasuk berpindah dan sebagainya,” katanya.
Dr. Zaini berkata, pihaknya juga perlu bersikap adil dan mengambil kira pegawai yang telah lama berkhidmat di kawasan tertentu yang turut memohon pertukaran ke tempat lain.
“Biasanya mereka memohon sebab menjaga ibu bapa, isteri dan anak-anak,” katanya.














