fbpx
Seorang pekerja kedai serbaneka Petronas menyusun akhbar Kosmo! dan Utusan Malaysia yang dijual setiap hari di kedai itu.

Pencuri konten antara cabaran dihadapi Kosmo!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Hari ini, genap tiga tahun ­Kosmo! diterbitkan semula di bawah pemilik dan pengurusan baharu Media Mulia Sdn. Bhd. (Media Mulia) setelah penerbit asalnya Utusan Melayu (M) Bhd. menamatkan operasi pada 9 Oktober 2019.

Di bawah Media Mulia, akhbar bersaiz kompak yang berketebalan 48 muka surat dengan harga RM2 ini kembali teguh berdiri menemui pembaca setianya de­ngan menyajikan pelbagai topik berita serta rencana segar khusus untuk generasi muda yang kontemporari, moden dan aktif dalam kehidupan seharian.

Kosmo! yang juga boleh diakses melalui rangkaian media digitalnya iaitu Kosmo! Online, Facebook, Instagram, Twitter serta TikTok turut memainkan peranan dan tanggungjawabnya membawa dan memperjuangkan suara rakyat khususnya golongan muda dalam mengetengahkan pelbagai isu melibatkan penggunaan, pendidikan sehinggalah kepada masalah setempat.

Sebagai salah sebuah media arus perdana yang popular, ­Kosmo! juga tidak dapat lari daripada menghadapi pelbagai cabaran dalam usahanya menjadi sebuah akhbar yang berwibawa dan berkredibiliti dalam menyediakan bahan berita serta rencana yang berkualiti, benar, tepat, terkini dan diyakini untuk pembaca setianya serta seluruh rakyat di negara ini.

Seorang pembaca Kosmo! memilih akhbar ini sebagai bahan bacaan yang dijual di kedai serbaneka Petronas dan 7Elevan terpilih di seluruh negara.

Antara cabaran terbesar yang dihadapi ketika ini ialah persaingan untuk mendapatkan iklan kerana ia sebenarnya bukan sahaja melibatkan antara media arus perdana serta portal-portal berita tempatan, malah ia turut melibatkan persaingan dengan penyedia platform berpengaruh seperti Google dan Facebook.

Jujurnya, banyak iklan syarikat-syarikat besar termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kini ‘mengalir’ ke Google atau Facebook yang berpangkalan di luar negara dan nilainya melebihi RM1 bilion setahun.

Situasi ini sebenarnya memberi tekanan kepada media-media tempatan untuk menjana pendapatan melalui hasil pengiklanan.

Dalam konteks berita di Malaysia, sudah tentu sebahagian besar kandungan yang terhidang di platform berkenaan disediakan oleh penyedia-penyedia kandungan yang terdiri daripada media-media arus perdana dan portal-portal media tempatan yang lain.

Mungkin pihak berkuasa dapat memikirkan sesuatu supaya segala hasil yang mengalir keluar itu dapat ‘diambil’ sedikit dan untuk dikembalikan kepada pengamal-pengamal media tempatan dalam bentuk yang difikirkan sesuai.

Bagaimanapun, adalah lebih elok jika pihak-pihak yang terlibat terus sahaja mengiklankan produk komersial mereka kepada media-media tempatan untuk manfaat bersama.

Selain itu, dilema lain yang turut dihadapi Kosmo! dan keba­nyakan media arus perdana yang lain ialah, banyak hasil kerja kami meliputi berita serta rencana eksklusif ‘dicuri’ oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk disiar semula di portal-portal mereka.

Proses cetakan akhbar Kosmo ketika tinjauan percetakan akhbar Utusan Malaysia & Kosmo di Kilang Percetakan NSTP Bukit Jelutong pada 2020.

Untuk menghasilkan sesuatu berita ia memerlukan kos yang tinggi meliputi gaji wartawan, jurugambar, pengangkutan, per­cetakan dan sebagainya.

Malangnya, terdapat pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang hanya menggaji dua atau tiga orang aggregator ‘mencuri’ berita-berita atau rencana yang dihasilkan untuk diletakkan di portal-portal mereka.

Berita-berita yang ‘dicuri’ dan diletakkan di portal-portal mereka ini pula mendapat pageview (kiraan pelayar web) yang tinggi mengalahkan kami sendiri. Ia seolah-olah memberi gambaran bahawa segelintir daripada pembaca kita merestui perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

Untuk menghadapi cabaran ini, Kosmo! memerlukan sokongan daripada semua pihak khususnya daripada orang ramai, syarikat-syarikat swasta, agensi kerajaan supaya kami dapat terus menyajikan bahan berita serta rencana berkualiti.

Sokongan ini amat penting buat kami supaya Kosmo! ­terus subur menjadi akhbar yang berpengaruh yang dapat memainkan peranan bukan sekadar me­nyajikan maklumat terkini, malah menjadi rujukan utama untuk mendapatkan bahan berita.

Selain itu, akhbar ini terus berperanan sebagai penyampai suara rakyat ketika berdepan dengan pelbagai isu supaya ia dapat didengari dan ditangani oleh pihak-pihak yang terlibat.

Akhir sekali, Kosmo! ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pembaca setia kami serta semua pihak yang sentiasa memberi sokongan kepada akhbar ini bukan sahaja ketika di bawah Media Mulia sejak 20 Julai 2020, malah sejak kami mula-mula diterbitkan pada 31 Ogos 2004, 19 tahun yang lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN