fbpx

Hukum pihak perlekeh 3R

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

ISU 3R (raja, agama dan kaum) ketika ini sedang menjadi perbualan hangat dalam kalangan masyarakat biarpun isu itu sudah lama dimainkan oleh individu persendirian mahupun ahli politik sejak sekian lama.

Jika dilihat isu berkenaan se­perti tiada penyudahnya, biarpun tindakan telah diambil oleh pihak berkuasa, namun masih ada yang berdegil melakukan hantaran di media sosial mahupun lantang bercakap secara terbuka di khalayak ramai.

Jelas sekali, ramai yang tidak menyedari bahawa kata-kata atau suatu hantaran mereka itu memberi implikasi yang sangat besar selain adalah salah di sisi undang-undang dan boleh menyebabkan perbalahan antara kaum, masyarakat dan agama di negara ini.

Baru-baru ini juga, beberapa tindakan yang dikenakan terhadap orang awam mahupun ahli politik yang tidak terlepas dari undang-undang selepas mengeluarkan kenyataan berunsurkan 3R oleh pihak berkuasa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sejak 27 Mac sehingga kini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka 61 kertas siasatan berhubung isu 3R termasuk siasatan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor didakwa menyentuh isu-isu berkenaan pada ceramah politik baru-baru ini.

Selain itu, turut disiasat Pre­siden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Bagan dan juga bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng serta bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ini membuktikan bahawa tiada mana-mana individu ‘kalis’ perundangan dan setiap yang salah akan dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa tanpa mengira status mereka.

Bagi penulis, tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa mencerminkan ketegasan badan beruniform itu untuk terus menangani isu berkenaan adalah sangat tepat dan tidak memilih ‘bulu’ dalam pelaksanaan undang-undang.

Pengamal undang-undang, Mahmud Jumaat berkata, PDRM boleh mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana individu yang mengaitkan isu 3R mengikut Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Walau bagaimanapun, akta itu lebih menjurus kepada elemen kesalahan jenayah sehingga menyebabkan pendakwaan memakan masa yang lama berikutan prosedur undang-undang,” katanya.

Tambahnya, kerajaan perlu mempercepatkan pembentukan satu akta serta badan kawal selia baru bagi membolehkan sesuatu isu berkaitan perkara berkenaan dapat diatasi dengan segera.

“Satu akta khas bagi membendung isu 3R perlu ada bagi menghukum pihak yang mempermainkan isu 3R dan suatu agensi khas bagi menangani perkara ini juga perlu ada,” ujar­nya.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, satu pasukan khas akan ditubuhkan bagi meneliti dan memperhalusi cada­ngan mewujudkan akta baharu berkaitan 3R di negara ini.

Langkah itu bertujuan mena­ngani pihak yang sengaja mencetuskan provokasi melampau dan kebencian rakyat mengenai isu tersebut.

Azalina berkata, beliau akan mengadakan pertemuan pertama dengan pihak berkaitan di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia, Kuala Lumpur pada Jumaat ini.

Tegas beliau, pihak berkenaan antaranya melibatkan Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam, agensi penguatkuasaan, pertubuhan bukan kerajaan dan badan profesional.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI