APABILA sebut sahaja anakonda antara imej yang terpantul di fikiran adalah adegan gerun filem Anaconda lakonan penyanyi dan pelakon terkenal Jennifer Lopez. Dalam filem itu, anakonda digambarkan sebagai ular bersaiz besar dan ketinggiannya boleh membaham manusia dari atas kepala.
Realitinya, anakonda atau nama saintifiknya Eunectus ini adalah haiwan yang tidak berbisa dan bagi anakonda kuning, saiznya membesar sehingga 15 kaki (4.57 meter) iaitu lebih kecil berbanding ular sawa batik yang terkenal di Asia Tenggara, dengan panjang mencecah 20 kaki (6 meter).
Namun begitu, anakonda hijau diisytiharkan antara ular terbesar di dunia dengan panjangnya boleh mencecah 30 kaki atau 9.1 meter dengan berat 227 kilogram.
Kini, aura gerun yang dibawa oleh haiwan yang berasal dari Amerika Selatan itu sama ada hijau atau kuning bukan sahaja boleh dilihat dikaca televisyen tetapi secara fizikal di Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka.
Anakonda kuning mula dibawa masuk ke situ pada tahun 2010, manakala anakonda hijau pula pada tahun 2015.
Menurut Pengurus Santuari Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka, Qurratu A’in Rohaminordin, pusat pameran dan konservasi itu mula mendedahkan keistimewaan anakonda kepada para pengunjung sekitar 2010 dengan membawa masuk sepasang anak anakonda kuning yang dinamakan Rex (jantan) dan Rexxy (betina).
“Anakonda ini bukanlah pemangsa yang membaham terus mangsanya seperti ditonjolkan di dalam filem Barat, sebalik reptilia ini adalah spesies semiakuatik yang menggunakan otot badan untuk membelit dan melemaskan mangsa di dalam air.
“Kita membawa anakonda ini sebagai pelangkap keluarga ular di dalam negara dan pada 25 Mac 2022, Rex dan Rexxy pertama kali dilihat mengawan, namun tidak menunjukkan tanda-tanda bunting. Menurut bacaan, kebiasaannya mereka akan mengawan sepanjang September sehingga Disember dan kelahiran adalah pada April sehingga Mei.
“Anakonda merupakan sejenis haiwan ovoviviparous, di mana ia akan menghasilkan telur serta menyimpannya di dalam badan sehinggalah ke saat penetasan dan anak-anak anakonda akan keluar seperti dilahirkan,” katanya kepada Panorama.
Ujarnya, bagaimanapun selepas 13 tahun penantian, Rexxy mula menunjukkan perubahan pada awal Januari lalu apabila menolak untuk menangkap makanan dan kali terakhir dilihat makan adalah pada 8 Januari.
“Warga zoologi sangat teruja dengan perkembangan tersebut dan telah menyediakan lampu di dalam sangkar untuk menyediakan suhu optimum diperlukan iaitu sekitar 33 hingga 42 darjah Celsius serta menutup sekeliling kurungan daripada dilihat pelawat.
“Pada 5 Jun lalu, kita menjumpai sebanyak 14 ekor anak anakonda di beberapa lokasi di dalam kurungan. Ini merupakan satu sejarah baharu buat negara apabila kita berjaya membiakkan sendiri anakonda dan sebanyak 14 ekor hidup,” katanya.
Tambahnya, berat anak anakonda kuning itu yang direkodkan adalah 170 gram dan panjang sekitar 60 sentimeter.
Jelasnya, kesemua anak tersebut telah diasingkan dan di bawah pemantauan ahli zoologi. Ia akan dipamerkan kepada pengunjung setelah keadaan mereka stabil.
“Di Malaysia, hanya ada beberapa zoologi yang mempamerkan spesies ini. Pada tiga tahun lalu Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka ini menjadi satu-satunya zoologi di negara ini yang berjaya membiakkan spesies ular terbesar dunia iaitu anakonda hijau dengan empat ekor hidup.

“Pada bulan lepas pula, pasukan kami telah menyambut kelahiran Columbia Rainbow Boa, di mana dua ekor ular betina telah berjaya melahirkan keseluruhan 11 ekor anak. Walaupun kesemua ular liar ini bukanlah spesies ular tempatan, namun kejayaan ini membuktikan zoologi Malaysia setanding dengan luar negara dalam usaha pembiakan dan konservasi reptilia,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai diet haiwan itu, Ketua Bahagian Ular dan Buaya, Athira Faiqah Md. Wahi berkata, Rexxy kebiasaannya akan diberikan tiga ekor ayam bersaiz sederhana besar dalam tempoh seminggu, manakala pasangannya Rex hanya menikmati tiga ekor hamster.
“Selepas melahirkan anak, kita ubah dietnya dengan memberikan anak ayam sahaja dan selepas stabil kita akan berikan mengikut diet asalnya. Anakonda ini lebih berselera pada cuaca panas.
“Kalau ular ini bersalin kulit, mereka memang tidak berselera untuk makan dan situasi itu akan berlanjutan kira-kira selama dua minggu,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Taman Rama-rama dan Reptilia Melaka, Gerard Wong berkata, hasil semakan yang dibuat pihaknya sebelum ini mendapati Malaysia masih belum pernah melaksanakan sebarang pembiakan ular anakonda.
“Sebagai sebuah zoologi yang telah bertapak selama 30 tahun di sini, kita sering berasa sangat kerdil apabila menerima kunjungan zoologi luar negara kerana tidak mempunyai spesies anakonda yang terkenal dalam koloni ular, sedangkan ular sawa batik kita telah banyak dibiakkan di Amerika Selatan.
“Oleh kerana itu kita merasakan adalah menjadi tanggungjawab untuk membiakkan reptilia ini dan akhirnya berjaya membiakkan anakonda kuning dan hijau, sekali gus menjadikan pengalaman zoologi negara kini setaraf dengan zoologi di luar sana,” katanya.
Seorang pengunjung Taman Rama-rama dan Reptilia Melaka, Zakiah Mohd. Sahgir, 28, dari Kuala Lumpur berkata, dia tidak menyangka saiz ular anakonda hanyalah seperti ular sawa kebanyakan yang dilihat ruang pameran di zoo.
“Ini kali pertama saya bersama suami dan anak-anak tengok ular anakonda, kami ingatkan besar seperti dalam filem Anaconda, rupanya biasa sahaja cuma ia duduk di dalam air,” katanya.
Sementara itu, Syazwani Ariff, 32, dari Bukit Katil, Melaka turut memberikan reaksi sama ketika melihat anakonda kuning tersebut.
“Saya tidak tahu pula Malaysia ada pamer anakonda, kami memang teruja apabila tahu selain ular tempatan, ada juga ular ikonik anakonda di sini,” katanya.














