fbpx

Suspek bakar, rosak 15 kenderaan ada enam rekod jenayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar aksi suspek ketika membakar kenderaan di Klang, Khamis lalu.

KLANG – Seorang lelaki yang ditahan kerana khianat membakar enam kenderaan di Bandar Bukit Tinggi di sini kelmarin mempunyai enam rekod jenayah lampau.

Suspek berusia 53 tahun tersebut berjaya ditahan kira-kira pukul 5.30 petang hari sama iaitu dua jam selepas melakukan jenayahnya itu di kawasan berhampiran berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, suspek yang juga penganggur tersebut juga didapati positif dadah jenis morfin.

Katanya, siasatan mendapati suspek menggunakan botol mineral disyaki mengandungi minyak bagi membakar semua kenderaan.

“Siasatan lanjut mendapati suspek juga melakukan perbuatan khianat terhadap sembilan lagi kenderaan merangkumi van, kereta dan bas dengan memecahkan cermin di kawasan berhampiran.

“Keseluruhannya terdapat 15 buah kenderaan dikhianat suspek termasuk membakar pada bonet kenderaan. Jumlah kerugian dianggarkan RM15,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hoong Fong menambah, polis masih menjalankan siasatan berhubung punca sebenar perbuatan suspek tersebut.

Jelas beliau, pihaknya mendapat perintah reman selama tujuh hari terhadap suspek dengan kertas siasatan dalam proses dilengkapkan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat.

“Kes disiasat masing-masing mengikut Seksyen 435 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan selain Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan suasana di Jalan Batu Nilam 3, Bandar Bukit Tinggi di sini, gempar apabila enam kereta dipercayai dibakar individu kurang siuman, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu turut menyebabkan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun melecur di tangan ketika cuba memadamkan kebakaran tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI