fbpx

Bayi perempuan enam bulan mati dipercayai didera pengasuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

IPOH – Seorang bayi perempuan berusia enam bulan meninggal dunia dipercayai akibat didera ketika di bawah jagaan pengasuhnya di Taman Tawas Indah di sini.

Bayi malang itu menghembuskan nafas terakhir pada 2.51 petang semalam, di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) selepas dua hari dalam keadaan koma.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, bayi itu dibawa ke hospital oleh pengasuhnya pada Rabu lalu dengan menggunakan ambulans selepas dilihat dalam keadaan tidak bermaya.

Katanya, pihak hospital mengesyaki bayi itu didera kerana mangsa koma selain terdapat kesan lebam pada badan.

“Sehubungan itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi menyiasat kes berkenaan.

“Siasatan pihak polis kemudian berjaya menghasilkan tangkapan pada Khamis terhadap seorang wanita warga tempatan yang merupakan pengasuh mangsa sepenuh masa.

“Berdasarkan siasatan, suspek menjaga bayi terbabit sejak Mac lalu kerana kedua ibu bapa mangsa bekerja di Australia,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa bagaimanapun meninggal dunia selepas dua hari koma dan hasil bedah siasat mendapati punca kematiannya disebabkan kecederaan di kepala akibat objek tumpul.

Katanya, kematian bayi itu menyebabkan siasatan kes diklasifikasi semula sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam sehingga Isnin ini untuk siasatan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI