fbpx

100 peladang, pekebun mengeluh laluan masuk ditutup ikut waktu pejabat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KENG HENG (tiga dari kanan) bersama peladang dan pekebun menunjukkan pelan kebun mengenai isu penutupan jalan ke ladang mereka di dalam kawasan ladang kelapa sawit di Batu 16 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, Johor Bahru hari ini. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI/ KOSMO!

JOHOR BAHRU – Kira-kira 100 peladang dan pekebun di Batu 16, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi kecewa dengan tindakan pemaju yang tidak bertimbang rasa menutup laluan masuk ke kawasan pertanian itu bermula 6 petang setiap hari.

Pekebun durian, Lim Cher Hwee, 52, keadaan ini menyukarkan pekerjanya serta pekerja di ladang buah-buahan dan sayuran yang tinggal di kawasan itu untuk keluar masuk selepas waktu ditetapkan.

Katanya, tindakan pemaju itu berbuat demikian adalah disebabkan berlaku masalah buah kelapa sawit dicuri ketika tempoh pandemik Covid-19 yang menyebabkan laluan utama keluar masuk itu dikunci dan hanya dibuka dari pukul 7 pagi hingga 6 petang sahaja.

“Isu yang timbul apabila pekerja di dalam kawasan ladang tersebut berdepan isu kecemasan tidak dapat keluar daripada kawasan itu. Mereka terkurung di kawasan itu sehingga pagar dibuka 7 pagi keesokan harinya.

“Kami faham niat mereka untuk halang berlaku kecurian namun ia mendatangkan masalah buat pekerja. Seeloknya mereka meletakkan pengawal di pintu masuk itu, setidaknya dapat membuka pagar kepada pekerja untuk keluar masuk,” katanya kepada pemberita hari ini.

Bagi seorang pekebun kelapa sawit, A. Govindasamy, 72, masalah itu sudah lama berlarutan dan diharap ia dapat segera diatasi.

Dalam pada itu, Setiausaha MCA Johor, Datuk Ng Keng Heng berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Pejabat Tanah Daerah Kota Tinggi dan pihak pemaju.

“Sehubungan itu, kita nak ‘suara’ peladang dan pekebun di sini untuk tandatangan petisyen untuk mendesak pihak berkenan membela nasib mereka. Setakat ini, hanya 20 peladang sahaja yang berbuat demikian sedangkan di kawasan ini mempunyai kira-kira 100 pengusaha ladang dan kebun yang beroperasi di kawasan ini. Mereka boleh hubungi Pejabat MCA Negeri Johor 07-3630008 untuk mendapatkan maklumat mereka,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI