fbpx
BUKAN bosan dengan karakter pelawak, Zizan Razak cuma enggan statik atas garis komedi. Keluar dari zon selesa, dia mencabar kemampuan diri menggalas watak antagonis yang tidak pernah dijiwai dalam mana-mana naskhah, televisyen mahupun layar perak selama ini.

Zizan Razak lempiaskan impian ‘jahat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SENTIASA mencari kelainan dalam menterjemahkan watak dalam lakonan untuk mewarnakan lagi kanvas kerjaya walaupun sudah hampir dua dekad bergelar anak seni. Itu pegangan lelaki bernama Zizan Razak.

Diajak bercerita tentang hal-hal yang belum dicapai sebagai seorang pelakon, dia bercerita panjang.

Selebriti berusia 39 tahun itu mengakui, soal kariernya mungkin sudah memasuki status versatil. Bukan sahaja bergelar pelawak, dia juga seorang pengacara dan usahawan. Namun dalam terma portfolionya sebagai pelakon, banyak lagi yang perlu digali.

Buktinya, lebih 16 tahun bergelar pelakon, namun tidak sekali pun dia diberi peluang untuk melakonkan watak antagonis.

Pandangan orang terhadapnya adalah sama iaitu pelawak. Dia berjaya membuatkan ramai tergelak dan sesekali sebak sehingga menitiskan air mata.

Dari sisi lain, Zizan mahu lebih daripada semua itu. Mungkin, dia juga mahu dibenci atau membiakkan geram penonton terhadap karakter jahatnya.

SELAIN watak antagonis, Zizan juga mengimpikan peluang menjayakan karakter seorang bapa dalam drama air mata yang meruntun jiwa penonton.

Antagonis

Akui Mohd. Razizan Abdul Razak, dia tidak diberi peluang untuk memegang watak sebagai penjahat kerana kebanyakan pengarah tanah air kurang atau tidak berani meneroka kebolehannya sebagai pelakon.

“Susah nak cakap benda ini tetapi mungkin pengarah melihat kesesuaian saya sebagai pelawak dan mereka tidak berani bakat lakonan saya,

“Tidak boleh juga meletakkan punca perkara itu terhadap mereka semata-mata sebab kerja mereka adalah mengarah, namun pengarah yang bagus ialah mampu membentuk seseorang pelakon menjadi seperti mereka mahukan waima watak seekor ayam sekali pun,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Seperti bulan jatuh ke riba, Zizan bagaimanapun bersyukur akhirnya diberi rezeki dan kepercayaan menggalas sebuah karakter antagonis dalam filem Merewang Keluarga Pak Awang arahan pelakon terkenal, Adlin Aman Ramlie.

“Sepanjang tempoh 16 tahun berada dalam industri, memang saya ternanti-nanti tawaran untuk watak antagonis tetapi tiada.

“Jadi, apabila menerima tawaran watak jahat bagi filem Merewang Keluarga Pak Awang, memang saya seronok walaupun masih bergenre komedi,” jelasnya.

Tambah hero filem Abang Long Fadil itu, kekerapan menjayakan karakter pelawak sebenarnya mencetuskan salah faham ramai bahawa dia meletakkan limitasi terhadap karier lakonan sendiri.

KUALITI lakonan. Zizan mengakui kini lebih selektif dalam menerima sebarang tawaran lakonan dan tidak hanya mengejar kuantiti semata-mata.

“Terlalu kerap bawa karakter pelawak membuatkan orang fikir adakah saya mengehadkan kreativiti lakonan sendiri dan ada yang menganggap saya hanya mahu watak sebagai hero sampai bila-bila.

“Sasaran saya sama seperti pelakon lain iaitu ingin menjadi versatil dengan meneroka kemampuan diri yang mungkin belum dicungkil,” ujarnya.

Dari sisi lain, Zizan juga tidak akan berhenti berjuang dan mencari peluang untuk melihat lebih ramai pelawak tanah air berdiri menerajui peranan hero seperti yang dilakukannya sehingga hari ini.

“Saya selalu memasang impian untuk melihat industri perfileman tanah air menjadi seperti di Hollywood iaitu pelakon komedi diangkat sebagai hero.

“Contoh yang boleh saya ambil ialah seperti Ryan Reynold dan Jim Carrey. Mereka semua aktor komedi tetapi mampu memegang watak utama yang versatil.

“Itu yang saya perjuangkan sehingga hari ini untuk pelakon generasi muda tanah air,” jelasnya.

Selain karakter antagonis, Zizan bagaimanapun mengakui lebih selektif dalam menerima sebarang tawaran lakonan.

Bukan kerana berlagak ‘diva’ tetapi ingin memastikan kualitinya terjaga, bukan sekadar mengejar kuantiti semata-mata.

“Saya memang cerewet dalam menerima sebarang tawaran kerja ini demi menjaga kualiti lakonan.

“Kini, sasaran saya bukan lagi mengejar jumlah filem atau drama dalam setahun.

“Bukan sahaja mahu muncul dengan karya berkualiti tetapi juga tidak mahu peminat menganggap hanya ‘tangkap muat’ dalam setiap projek lakonan yang dijayakan,” tutur pelakon filem Hantu Bonceng itu lagi.

Zizan sentiasa berjuang bagi memastikan golongan pelawak atau pelakon komedi tanah air meraih peluang memegang watak hero dalam mana-mana filem mahupun drama.

Dol

Bercerita pengalamannya sepanjang menjayakan Merewang Keluarga Pak Awang, bintang kelahiran Dungun, Terengganu itu menyifatkan naskhah berkenaan memberi pengalaman berbeza, terutama apabila diberi peluang bekerja bersama barisan pelakon hebat seperti Sabri Yunus dan Adlin sendiri.

“Ketika terima watak sebagai Dol, saya tidak kata setuju serta-merta walaupun ini watak antagonis pertama selepas 16 tahun bergelar pelakon.

“Selepas berdiskusi dengan Adlin mengenai jalan cerita dan perkembangan watak, saya terus bersetuju.

“Saya tak mahu sekadar wujud dalam filem ini sebagai pelakon pembantu tetapi mahu memberi sesuatu yang boleh meninggalkan impak terhadap penonton.

“Banyak hal kami bincangkan termasuk komedi jenis apa yang sepatutnya diberikan dan tak mahu sekadar ada. Saya minta, gunakan watak Dol ini sebaik-baiknya dan bukan hanya muncul pada awal hingga pertengahan cerita,” kongsinya.

Dalam masa sama, dia berpuas hati dengan hasil kerja yang dianggap sebagai menghiburkan dan berkualiti.

“Saya puas hati melihat bagaimana Adlin mengolah jalan cerita selain memberi peluang setiap karakter menyerlah dengan cara tersendiri,” kata Zizan menggulung perbualan.

ZIZAN menemui kepuasan baharu menerusi watak antagonis lakonannya dalam filem Merewang Keluarga Pak Awang arahan Adlin Aman Ramlie.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN