fbpx

Mahkamah: Reman remaja cekik adik kandung disambung tujuh hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Majistret Mahkamah Ayer Keroh.

MELAKA – Tempoh tahanan reman remaja lelaki yang dipercayai mencekik adiknya sehingga mati di rumah mereka di Kampung Bukit Piatu di sini, minggu lalu disambung tujuh hari lagi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, perintah reman sehingga 19 Julai itu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan lanjut.

“Tempoh reman yang berakhir hari ini disambung sehingga 19 Julai ini. Kita akan merujuk kertas siasatan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan pendakwaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pada 6 Julai lalu, lelaki berusia 14 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun maut dipercayai dicekik abangnya ketika ibu bapa mereka tiada di rumah.

Kejadian itu disedari ibu mangsa yang melihat kejadian melalui rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang diakses menggunakan telefon pintarnya sebelum meminta pertolongan jiran untuk memeriksan keadaan dua beradik itu.

Menurut jiran yang juga saksi kejadian, Qhurun Ain Johani, 31, sebaik sahaja masuk ke dalam rumah mangsa, dia terkejut apabila melihat suspek mencekik leher adiknya yang telah pucat dan dipercayai tidak bernyawa.

“Abangnya seakan-akan tidak menyedari perbuatannya sehingga saya terpaksa menepis kuat genggaman tangannya daripada leher mangsa. Dia memang budak yang baik, cuma baru-baru ini dia mengalami trauma kerana mendakwa menjadi mangsa buli di sekolah dan pernah meracau, namun dikatakan telah sembuh selepas dibawa menjalani rawatan oleh keluarganya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI