PERNAHKAH kita mendengar ungkapan biarlah hidup susah, asalkan tidak menyusahkan urusan orang lain.
Mungkin bagi sesetengah orang, ia adalah kata-kata biasa tanpa sebarang pengertian yang perlu diberi perhatian serius.
Sebenarnya ia membawa pengertian mendalam yang menjadi peringatan kepada setiap individu supaya tidak menyusahkan kehidupan orang lain biarun tidak mampu membantu.
Semestinya kita perlu berusaha memudahkan urusan orang lain tidak kira apa sahaja kesulitan yang dihadapi orang sekeliling kita.
Lagipun, sebagai seorang Islam, kita percaya dan yakin bahawa apabila permudahkan urusan orang lain, nescaya Allah akan mempermudahkan urusan kita pada masa akan datang.
Dalam hal ini, Rasulullah SAW mengajar kita agar sentiasa berusaha membantu orang lain dalam kesulitan yang dihadapi.
Sebuah hadis daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi SAW bersabda:
“Sesiapa yang melapangkan seorang mukmin daripada kesusahan dunia, maka Allah SWT akan melapangkannya daripada kesusahan di hari kiamat.” (Riwayat Muslim)
Percayalah setiap permasalahan pasti ada solusinya dan tidak perlu memberatkan lagi seseorang lain yang mungkin dibebani dengan seribu masalah dalam kehidupan dengan kata-kata sinis menikam kalbu.
Sepatutnya sebagai seorang rakan, dengar dengan tekun masalah yang dihadapi dan cuba menenangkan dengan kata-kata nasihat dan bukannya mencurah minyak ke dalam api yang sedang marak menerusi ungkapan sindiran.
Sudahlah orang itu ditimpa masalah, kita pula tidak membantu, malahan memberi kata-kata seolah-olah mempersenda dan membuat fikiran lebih berserabut tanpa memikirkan perasaan orang lain.
Cubalah belajar menerima masalah orang lain sebagai tanggungjawab yang boleh diselesaikan secara bersama, barulah hidup ini akan menjadi lebih mudah.
Jika kita masih kekal dengan sikap lama kita yang suka menyusahkan, percayalah, orang akan menjauhkan diri daripada kita.
Tidak mustahil orang ramai juga enggan lagi berurusan dengan kita disebabkan sikap kita sendiri.
Mudah kata, kalau kita tidak mampu senangkan orang lain, jangan sampai menyusahkan hidup mereka.
Jadilah seperti lilin, menerangan orang lain, jangan jadi seperti duri mencucuk diri dan sakiti orang lain.














