fbpx

Dua lelaki dicekup, tak sempat edar 60.2kg ganja kepada pelanggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhamad Zaki (tengah) menunjukkan sebahagian ketulan ganja mampat yang dirampas pada sidang akhbar di IPK Kelantan, Kota Bharu hari ini. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/KOSMO!

KOTA BHARU – Dua lelaki tidak sempat menyerahkan tiga guni berisi dadah jenis ganja mampat seberat 60.2 kilogram (kg) bernilai RM186,620 kepada pelanggan apabila mereka dicekup di kawasan parkir pekarangan sebuah pasar raya di Tunjong di sini kelmarin.

Kedua-dua lelaki yang berusia 24 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan kira-kira pukul 9.50 malam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kedua-dua suspek ketika itu baru sahaja keluar dari sebuah kereta jenis Honda Accord yang dinaiki mereka.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam kereta itu kemudiannya menjumpai tiga guni mengandungi ketulan ganja mampat seberat 60.2 kg.

“Mereka dipercayai sedang menunggu pelanggan untuk menyerahkan kesemua guni yang mengandungi ganja mampat itu. Belum sempat serahan dibuat, dua lelaki terbabit dicekup selepas pihak polis mengekori kereta yang dinaiki mereka menuju ke kawasan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di IPK Kelantan di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, selain dadah, anggota polis turut merampas wang tunai berjumlah RM500 yang ada bersama suspek.

Menurutnya, kesemua ganja itu dipercayai akan dijual ke luar Kelantan dan polis juga sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui punca bekalan dadah itu diperoleh.

“Kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan mereka juga positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Menurut Muhamad Zaki, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam untuk siaatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI