fbpx

10 ahli sindiket diberkas, 60,700 liter diesel dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Polis merampas pelbagai jenis peralatan serta beberapa buah lori susulan serbuan ke premis yang dijadikan tempat memproses dan penyimpanan bekalan minyak diesel di Masai, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua melumpuhkan kegiatan sindiket penyeludupan diesel bersubsidi selepas menyerbu sebuah premis di Masai, di sini yang dijadikan tempat memproses dan menyimpan bekalan minyak itu, semalam.

Dalam serbuan Op Taring Landai pada pukul 1.35 tengah hari itu, seramai 10 lelaki ditahan termasuk tiga lelaki warga asing berusia lingkungan 29 hingga 61 tahun di premis berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M. Kumar berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas 60,700 liter diesel bersubsidi yang dianggarkan berjumlah RM149,929

“Kesemua yang ditahan itu berperanan sebagai pekerja dan pemandu lori. Kita masih menyiasat siapa dalang sindiket itu dan berapa lama mereka melakukan perbuatan tersebut.

“Dalam serbuan itu, polis merampas sembilan buah tangki dengan kapasiti 29,000 dan 6,000 liter; lapan buah pam beserta hos; lima buah lori jenis Daihatsu, Scania, Nissan UD dan Ford serta 11 telefon bimbit pelbagai jenama,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Kumar memberitahu, kesemua nilai lori dan aset yang disita dianggarkan bernilai RM1.10 juta menjadikan nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM1.16 juta.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati lima suspek warga tempatan mempunyai empat rekod lampau berkaitan jenayah dan satu rekod kes dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta yang sama yang memperuntukkan denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) dan Seksyen 12 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI