PETANG itu, pasangan pengantin baharu yang hanya mahu dikenali sebagai Azri, 25 dan juga Hana, 25, meluangkan masa bersama untuk mendengar ucapan perkahwinan yang ditinggalkan buat mereka sewaktu bergelar raja sehari.
Hana mencapai fon telinga yang kemudiannya diletakkan pada telinga kanannya sebelum menekan butang ‘play’ pada skrin komputer ribanya yang memainkan beberapa ucapan tahniah kepada dia dan suaminya atas perkahwinan mereka.
Azri dan Hana telah memilih khidmat ucapan audio tetamu bagi menggantikan ucapan yang ditulis pada buku ucapan kepada pengantin sebagai mencipta satu kelainan.
Selepas beberapa minit, senyuman manis yang terukir di bibir Hana tiba-tiba bertukar menjadi tangisan apabila mendengar ucapan daripada datuknya yang agak panjang.
“Datuk merupakan individu yang cukup istimewa di hati saya memandangkan dia dan arwah nenek telah menjaga saya sejak berusia lapan tahun sehinggalah saya menamatkan sekolah menengah.
“Pada usia hampir mencecah 75 tahun, keadaan kesihatan datuk juga sudah tidak begitu baik menyebabkan saya tiba-tiba menjadi sedih apabila mendengar suara dan juga ucapan panjangnya kerana takut akan kehilangan datuk satu hari nanti.
“Justeru, sebaik sahaja saya mendengar suara datuk pada audio ucapan perkahwinan saya baru-baru ini, air mata tiba-tiba mengalir laju kerana saya khuatir akan merinduinya satu hari nanti,” kata Hana.
Bagi Hana, ucapan yang ditinggalkan itu cukup sempurna memandangkan ia dapat ‘menangkap’ dan menyimpan perasaan sebenar datuknya yang meninggalkan ucapan bersuara serta mendoakan fasa baharu kehidupan Hana bersama pasangannya.
Ternyata, kemampuan menyimpan memori seperti itulah yang telah memberikan idea kepada pengasas Soulfones, Amirah Abdul Halim, 31, untuk memperkenalkan perkhidmatan pesanan audio ucapan tetamu bagi menggantikan ucapan tradisional di buku ucapan yang biasanya di tinggalkan di ruang masuk majlis.

Ia merupakan pendekatan menarik terbaharu yang diperkenalkan di negara ini.
Konsep sebegini bagaimanapun sudah pun popular di beberapa negara seperti United Kingdom dan Filipina.
Amirah berkata, dia mengasaskan Soulfone yang menggantikan buku ucapan tradisional kerana cukup sukakan konsep penterjemahan emosi sebenar menerusi pesanan suara.
“Secara peribadi, saya sememangnya seseorang yang percaya kepada kesan emosi yang ditinggalkan oleh sesuatu memori.
“Bagi saya, memori yang indah dan menggembirakan banyak membentuk kehidupan kita dan ia seharusnya disimpan dengan baik dan dikenang buat selama-lamanya,” ujarnya kepada K2.
Tambahnya, biarpun masih menyukai konsep ucapan yang ditulis pada buku ucapan kepada pengantin, namun Amirah menganggap bahawa tulisan tersebut tidak begitu berkesan dalam ‘menangkap’ emosi sebenar yang dirasai oleh tetamu yang hadir.
Selain itu, ucapan pada buku juga lazimnya ditulis dengan ringkas dan hampir sama antara setiap tetamu.
“Saya mahu mewujudkan satu platform yang mana tetamu boleh meninggalkan ucapan suara yang pada saya mampu menyampaikan rasa dan emosi sebenar seseorang.
“Selain itu, ucapan suara juga tidak terhad dan tetamu boleh meninggalkan ucapan yang mungkin sedikit panjang, sekali gus lebih menyentuh emosi pendengar juga,” katanya.
Jelasnya, bukan sahaja untuk acara perkahwinan tetapi juga untuk acara-acara lain seperti ulang tahun perkahwinan, sambutan hari lahir, perjumpaan semula bersama rakan-rakan dan juga acara korporat.
Soulfones boleh disewa pada harga RM499 untuk lima hari.

Menariknya, biarpun menawarkan khidmat pesanan yang moden, telefon sewaan Soulfones mengekalkan ciri reka bentuk telefon klasik yang kemudiannya akan diletakkan di bahagian pintu masuk majlis.
“Cara menggunakannya juga adalah amat mudah yang mana tetamu hanya perlu mengangkat gagang telefon dan meninggalkan ucapan mereka selepas bunyi ‘bip’.
“Sebaik sahaja gagang diletakkan, ucapan yang ditinggalkan itu sudah pun selamat dirakam dan boleh didengar kelak,” kata Amirah.
Tarikan lain pada Soulfones juga ia boleh disimpan buat selama-lamanya dan tidak mempunyai tarikh luput.
Justeru, pengguna boleh mendengar semula ucapan-ucapan tersebut pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.
Sebaik sahaja semua ucapan selesai dirakam, ia akan ditukar menjadi fail audio dan akan disimpan di dalam pendrive Soulfone.
“Ia seterusnya akan dibungkus di dalam kotak dan akan dihantar terus ke alamat pelanggan,” ujar Amirah yang memberitahu maklumat mengenai khidmat itu boleh didapati di laman web www.soulfones.com.
Jelas Amirah, biarpun baru sekitar lima bulan diperkenalkan di negara ini, ia sudah pun mendapat sambutan menggalakkan orang ramai.
“Saya tidak sangka sambutan yang diterima cukup menggalakkan dan saya yakin konsep ini boleh bersaing dengan konsep simpanan memori lain seperti photo booth dan juga rakaman video.
“Kebolehan mendengar semula suara dan pesanan yang ditinggalkan itu memberikan satu pengalaman peribadi dan berbeza daripada apa yang diperoleh daripada gambar mahupun rakaman video,” ujar Amirah.














