fbpx
RASIF menunjukkan beberapa produk yang dihasilkan daripada aktiviti R&D di Nuklear Malaysia.

Nuklear Malaysia aktif komersialkan produk R&D

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DITUBUHKAN sejak 1972, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) merupakan badan yang menerajui bidang berkaitan teknologi nuklear di negara ini.

Sepanjang lebih lima dekad penubuhannya, Nuklear Malaysia telah mencatatkan pelbagai pencapaian cemerlang dan agensi tersebut turut menerajui bidang berkaitan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berteraskan teknologi nuklear.

Bukan itu sahaja, agensi tersebut turut mengkomersialkan produk-produk R&D bagi memberi manfaat kepada industri dan pengguna.

Bagi membincangkan lebih lanjut berkaitan hal tersebut, wartawan Kosmo! Ahad, FARID AHMAD TARMIJI, berpeluang menemu bual Pengarah Bahagian Pengkomersialan Teknologi (BKT) Nuklear Malaysia, Dr. Rasif Mohd. Zain baru-baru ini.

KOSMO!AHAD: Boleh ceritakan serba ringkas mengenai peranan Nuklear Malaysia?

RASIF: Secara keseluruhan Nuklear Malaysia adalah sebuah agensi yang menjalankan penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) yang berkaitan dengan bidang teknologi nuklear.

Bagi menjalankan fungsi ini, keupayaan tenaga kerja di Nuklear Malaysia adalah dalam sekitar 780 pekerja yang terlibat, di mana 330 pekerja adalah pegawai penyelidik.

Tahap pendidikan pegawai penyelidik kami terdiri daripada 97 ijazah sarjana muda, 172 ijazah sarjana dan 61 ijazah doktor falsafah.

Apabila mereka melakukan R&D, ini bermaksud produk-produk yang dihasilkan perlu sampai kepada masyarakat dan industri.

Ia bukan hanya sekadar di dalam makmal. Kebiasaannya, R&D yang dijalankan mendapat dana dari kerajaan dan pihak swasta. Ia tidak semestinya selesai di dalam makmal dan menerbitkan

kertas-kertas ilmiah tentang penyelidikan.

Kini kami bukan sekadar menghasilkan ilmu baharu, tetapi bekerjasama dengan syarikat untuk mengkomersialkan penyelidikan supaya menjadi produk yang boleh digunakan.

Kami mempunyai beberapa bahagian yang merangkumi pertanian, teknologi industri, alam sekitar dan teknologi perubatan.

Di bahagian saya ini, kami menguruskan pengkomersialan produk, perkhidmatan dan latihan yang dihasilkan oleh Nuklear Malaysia.

Kami mempunyai 21 pusat khidmat yang membantu pihak industri dan agensi-agensi kerajaan serta universiti menjalankan pelbagai perkhidmatan.

Perkhidmatan yang kami sediakan ini tidak ditawarkan di tempat lain di Malaysia.

Apakah kemudahan-kemudahan utama yang ditawarkan oleh Nuklear Malaysia dan perkhidmatan disediakan memandangkan Malaysia tidak memberi fokus kepada nuklear?
Kami ada 15 kemudahan utama yang merangkumi Pusat Kecemerlangan Nuklear (CoNE), Gamma Green House (GGH), Logi MINTEC Sinagama, makmal analisis radiokimia dan alam sekitar (RAS) serta lain-lain lagi.

Bagi pusat kecemerlangan nuklear, R&D mereka adalah untuk menghasilkan penemuan baharu.

Ini bermakna, ada pengetahuan baharu berkaitan teknologi nuklear. Di sini juga, kami melatih pihak industri dan masyarakat berkaitan teknologi tersebut dari aspek keselamatan sinaran bagi mereka yang bekerja menggunakan punca radioaktif dan gama.

Di pusat CoNE, kami melatih purata lebih 2,500 pelatih setiap tahun dan 50,000 pelatih telah berjaya dilatih sehingga kini.

Selain itu, kami ada GGH untuk pembiakbakaan tanaman.

Di sini, kami memberi peluang kepada para penyelidik dan pihak industri di Malaysia menggunakan teknik nuklear dalam menghasilkan varieti baharu tanaman.

Sebagai contoh, kami telah menghasilkan varieti benih padi baharu dengan menggunakan teknik nuklear.

Kini, ia telah dikomersialkan dan digunakan oleh para petani di negara ini. Sementara itu, bagi kemudahan Loji MINTEC Sinagama, kami membantu proses khidmat penyinaran dan pensterilan.

Mana-mana produk yang ingin dieksport ke luar negara seperti produk kesihatan, herba dan buah-buahan perlu menjalankan proses ini.

Setelah proses ini dilaksanakan, baru produk mereka layak dieksport ke luar negara terutamanya Eropah.

Menyentuh mengenai pengkomersialan, apakah tujuan utama aktiviti ini dan bagaimana Nuklear Malaysia melaksanakannya?
Tujuan utama kami adalah untuk pastikan penyelidikan dan pembangunan yang dilaksanakan di Nuklear Malaysia sampai ke rakyat dan memberi manfaat kepada negara.

Dana untuk melakukan R&D ini adalah daripada kerajaan dan faedahnya perlu sampai kepada rakyat dan industri.

Oleh itu, kami akan mengenal pasti produk-produk yang menjalani R&D mesti melepasi Technology Readiness Level (TRL) peringkat enam ke atas.

Mana-mana produk yang melepasi tahap keenam, kami akan mengambil teknologi tersebut untuk dikomersialkan.

Kami akan mengenal pasti bahawa produk itu telah ada prototaip dan mendapat pengiktirafan daripada badan yang sepatutnya sebelum dikomersialkan.

Selain itu, kami akan membantu ketua-ketua projek mencari rakan industri untuk mengkomersialkan produk-produk mereka.

Kami akan membuat promosi bersasar dan menguar-uarkan kepada pihak industri mengenai produk baharu dan mana-mana syarikat yang minat boleh menjadi rakan kerjasama pengkomersialan.

Pihak kami juga terlibat secara langsung dalam penyediaan kontrak kerjasama antara pihak terlibat.

Bilakah Nuklear Malaysia mula memberi perkhidmatan kepada para pelanggan di luar. Apakah perkhidmatan yang diberikan?
Berdasarkan rekod perkhidmatan secara signifikan telah bermula pada tahun 1980. Ia bermula dengan khidmat yang diberikan oleh Makmal Dosimeter Sekunder (SSDL).

Nuklear Malaysia telah ditubuhkan dan menjadi ahli kepada rangkaian SSDL di bawah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa kami telah mula memberi khidmat sebagai makmal bertaraf antarabangsa.

Ia diikuti dengan pembangunan kemudahan penyinaran gama di agensi ini apabila loji sinagama ditauliahkan pada 13 Januari 1989.

Loji sinagama adalah pusat kemudahan penyinaran bertaraf komersial yang menawarkan perkhidmatan dan penyelidikan berkaitan penyinaran gama terhadap produk perubatan makanan, herba, makanan haiwan, bahan pembungkusan dan sebagainya.

Perkhidmatan penyelidikan ini telah menjadikan sinagama sebagai pusat khidmat yang paling awal menjana pendapatan kepada agensi.

Sebagai agensi kerajaan, bagaimana Nuklear Malaysia menguruskan aktiviti pengkomersialan ini?
Kami adalah sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti). Oleh itu, aktiviti pengkomersialan ini dilakukan dengan kerjasama pihak kementerian.

Kami juga melaksanakan promosi secara bersasar dan mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkuasa tempatan (PBT). Bagi pengkomersialan ini, kami menggunakan pendekatan media massa dan media sosial.

Perkhidmatan yang diberikan merupakan niche area kerana tiada syarikat tempatan yang melaksanakannya.

Pihak industri kebiasaanya perlu menghantar produk mereka ke luar negara untuk mendapatkan perkhidmatan ini.

Dengan kemudahan yang ada, kami boleh bantu industri, sekali gus dapat menjimatkan kos mereka.

Sebagai contoh, salah satu makmal kita telah mendapat pentauliahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pengukuran keradioaktifan bagi air minuman.

RASIF telah berkhidmat dengan Nuklear Malaysia selama 21 tahun.

Boleh ceritakan proses pengkomersialan produk R&D dari makmal ini?
Proses pengkomersialan sesuatu produk R&D biasanya mengambil masa agak panjang.

Biasanya, para penyelidik akan memohon mendapatkan geran untuk melaksanakan pelbagai penyelidikan, sama ada berbentuk fundamental atau applied research.

Setelah berjaya menghasilkan produk baharu, formulasi atau proses itu akan dipatenkan.

Kemudian, penyelidik akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat untuk peringkat seterusnya iaitu proses prapengkomersialan.

Apabila produk tersebut dikenal pasti mempunyai potensi besar di pasaran, barulah ia masuk ke peringkat pengkomersialan dan dijual di pasaran terbuka.

Sebagai agensi penyelidikan, bagaimana pula peranan Nuklear Malaysia kepada masyarakat di negara ini?
Kami di sini akan menjalankan R&D mengikut hala tuju negara berkaitan teknologi nuklear. Kami menerajui teknologi ini bagi memenuhi keperluan negara dalam menuju taraf negara maju dan membantu pihak industri tempatan.

Kami juga menjalankan projek R&D dalam menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh pihak industri dalam penghasilan produk yang berkualiti dan mempunyai nilai tambah.

Dengan kepakaran yang sedia ada, kami membantu industri dalam menyelesaikan R&D yang mereka tidak mampu laksanakan.

Selain itu, kami menyediakan latihan kepada masyarakat yang memerlukan kursus-kursus berkaitan keselamatan sinaran di CoNE.

Sekiranya ada pihak yang ingin berkolaborasi atau mengkomersialkan hasil penyelidikan, bagaimana dan siapa yang perlu mereka hubungi?
Kami mengalu-alukan para pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat nasihat, analisis, penyinaran daripada Nuklear Malaysia.

Sila layari laman web, www.nuclearmalaysia.gov.my atau hubungi kami bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN